top of page

Annuar, Shahidan masuk Pas: Siapa sebenarnya mengubah siapa?

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 day ago
  • 2 min read

Kemasukan Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Seri Shahidan Kassim ke dalam Pas menimbulkan persoalan sama ada kedua-dua bekas pemimpin Umno itu benar-benar menerima perjuangan parti Islam berkenaan atau sebaliknya membawa bersama acuan politik Umno.


Menurut seorang penggamat politik di media sosial, kedua-dua tokoh berkenaan mempunyai pengalaman panjang dalam Umno dan mampu mempengaruhi Pas.


"Namun persoalan yang semakin kuat dibangkitkan ialah sama ada mereka menyertai Pas kerana benar-benar menerima dasar dan perjuangan parti Islam itu, atau Pas pula sedang dibentuk semula supaya bergerak mengikut acuan politik Umno,” katanya dalam akaun Facebook Pentas Negara.


Menurut artikel itu, persoalan timbul apabila Annuar dan Shahidan dilihat semakin aktif mengemukakan gagasan kerjasama semula antara Pas dan Umno.


"Annuar bukan sahaja menghidupkan kembali gagasan Muafakat Nasional, malah mengemukakan formula pembahagian kerusi bagi membolehkan Pas dan Umno menghadapi pilihanraya secara bersama.


"Shahidan turut memperlihatkan kecenderungan yang sama. Beliau beberapa kali menyuarakan harapan supaya hubungan Pas–Umno dipulihkan atas alasan penyatuan politik Melayu," katanya.


Beliau mendakwa perkembangan itu mengurangkan perjuangan darjat perjuangan Islam Pas yang sejak berdekad lalu mengutamakan politik berteraskan Islam dan bukan perhitungan kuasa semata mata.


Penggamat politik itu turut mempersoalkan sama ada perbezaan ideologi dan kritikan Pas terhadap Umno sebelum ini masih relevan sekiranya kedua-dua parti akhirnya memilih untuk bekerjasama atas dasar penyatuan Melayu dan kepentingan pilihanraya sahaja.


"Jika semua perbezaan itu kini boleh diketepikan hanya atas nama penyatuan Melayu dan perkiraan pilihanraya, apakah yang masih membezakan Pas daripada Umno?" katanya.


Menurutnya, Annuar dan Shahidan perlu menjelaskan perubahan pendirian mereka selepas menyertai Pas, termasuk prinsip yang menyebabkan mereka meninggalkan kerangka politik Umno.


"Lebih penting, adakah Annuar dan Shahidan telah berubah selepas menyertai Pas, atau mereka sebenarnya membawa pemikiran politik Umno masuk bersama-sama mereka?" tanyanya.


Beliau berkata kedua-dua tokoh itu ketika ini lebih banyak dilihat bercakap mengenai penyatuan Melayu, rundingan politik dan pembahagian kerusi berbanding berceramah mengenai politik Islam sebagaimana yang dilakukan tokoh tokoh luar yang menyertai Pas sebelum ini.


Beliau berkata, jika benar Annuar dan Shahidan menerima perjuangan Pas, kedua-duanya perlu menerangkan prinsip yang menyebabkan mereka meninggalkan kerangka politik Umno serta pendirian terhadap kerjasama kedua-dua parti.


"Mereka juga perlu menjelaskan sama ada kerjasama yang diperjuangkan itu menuntut Umno berubah atau sekadar memerlukan Pas melupakan segala kritikan dan permusuhan lama," katanya.


Pada masa sama, Pas turut perlu menjelaskan mengapa tokoh yang baru beberapa tahun menyertai parti diberikan ruang besar dalam mempengaruhi hala tuju strategiknya.


Di mana kritikan Umno sekular, parti assabiyah, perasuah dan sebagainya sebelum ini sehingga Pas dengan mudah memeluk parti itu dalam kerjasama politik di Negeri Sembilan.


Penggamat politik itu menegaskan penyatuan politik bukanlah sesuatu yang salah, namun ia perlu mempunyai garis prinsip yang jelas bagi memastikan identiti sesebuah parti tidak terhakis.


"Pas mungkin berjaya mendekati Umno, tetapi dalam proses tersebut Pas perlu memastikan ia tidak berubah menjadi salinan kepada parti yang pernah ditentangnya," katanya.


Menurutnya, persoalan utama bukan mengenai kelayakan Annuar dan Shahidan menjadi ahli Pas, sebaliknya kesan kemasukan kedua-dua tokoh itu terhadap arah tuju parti.


"Persoalan yang lebih besar ialah siapa sebenarnya sedang mengubah siapa.


"Adakah kedua-duanya masuk Pas untuk menerima perjuangan Pas, atau Pas pula sedang diubah supaya kembali mengikut acuan politik Umno?" soalnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page