Annuar Musa tiada perancangan bangunkan Kampung Baru?



Retorik Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa mengenai pembangunan Kampung Baru yang berubah-ubah membuktikan beliau tidak fokus atau tiada perancangan untuk membangunkan hartanah Melayu di tengah Kuala Lumpur itu.


Bagi Mantan Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PPKB), Syed Badli Shah Syed Osman, kenyataan keliru yang dikeluarkan oleh Annuar sejak kebelakangan ini menjelaskan hal tersebut.


Katanya, sebelum ini Annuar berkata lebih 60% pemilik tidak bersetuju sebagai dalih pembangunan tidak dapat diteruskan.


Namun data terakhir PPKB sebelum kerajaan bertukar tangan pada bulan Mac 2020, menurut Syed Badli, menunjukkan pemilik berdaftar berjumlah 5359. Dari jumlah itu hanya 1571 yang menghantar borang maklum balas kepada PPKB. Bermakna hanya sekitar 31% yang memberikan jawapan.


"Dari jumlah itu seramai 1499 pemilik telah menyatakan persetujuan untuk membangunkan tanah mereka. Manakala seramai 72 pemilik lagi tidak bersetuju.


"Seramai 2856 pemilik gagal dikesan iaitu sekitar 53%, menjadikan jumlah seramai 3788 pemilik gagal memberikan maklum balas.


"Apabila Annuar mengatakan kononnya lebih 60% tidak bersetuju, timbul beberapa keraguan.


"Berapa ramaikah jumlah terkini pemilik yang berjaya dikesan? Berapa ramai pula yang telah menghantar maklum balas?" tanya Syed Badli dalam satu kenyataan.


Katanya lagi, untuk membenarkan jawapan Annuar kononnya 60% pemilik tidak bersetuju iaitu semestinya sekitar 3215 telah menyatakan penolakan terhadap pembangunan, maka jumlah yang memberi maklum balas harus sekitar 4714 atau sebanyak 87%.


Benarkah 87% dari jumlah 5359 telah memberikan maklum balas sedangkan data bulan Mac menunjukkan seramai 53% masih gagal dikesan.


"Justeru itu saya menggesa Annuar untuk mendedahkan data sebenar pemilik yang menghantar maklum balas bagi mengelakkan sebarang keraguan.


"Saya yakin Annuar sebenarnya telah gagal merancang sebarang pembangunan kawasan Kampung Baru," katanya lagi.


Sebelum ini, Annuar ketika masih pembangkang mengkritik pelan pembangunan kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana nilai tanah hanya 1,000 per kaki persegi. Katanya, jika diberi harga RM3,000 per kaki masalah akan selesai.


Namun hari ini Annuar didapati tidak berani untuk menawarkan harga yang beliau cadangkan, sebaliknya berdalih tiada dana sebesar RM7 bilion untuk membangunkan Kampung Baru.

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio