Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng mempersoalkan hasil siasatan terhadap gambar tular yang menunjukkan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa duduk dengan beberapa orang individu semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 13 Februari lalu, sedangkan SOP ketika itu hanya membenarkan dua orang duduk dalam satu meja.
Beliau berkata, kes itu adalah berkepentingan awam kerana Annuar didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, namun masih belum ada kemaskini dari polis atau Pejabat Peguam Negara ( AGC) selepas lapan hari.
"Apakah AGC memerintahkan polis untuk menutup kesnya dan mengklasifikasikannya sebagai tidak memerlukan tindakan selanjutnya (NFA)?" soalnya.
Lim menganggap persoalan itu wajar diberikan jawapan memandangkan selepas perkara itu terbongkar, penganjur acara dan Annuar mendakwa mereka telah pun memberikan keterangan kepada pihak polis.
Malah, Lim menyifatkan penjelasan polis baru-baru ini bahawa persetujuan terlebih dahulu diperlukan dari AGC sebelum tindakan dapat diambil terhadap menteri menandakan adanya double standard dalam penguatkuasaan undang-undang.
"Sekiranya pihak berkuasa menangguhkan kes ini lebih lama, rakyat pasti akan melihat pihak berkuasa sebagai badan yang hanya menghukum orang awam, tetapi tidak berani menghukum menteri.
"Tidak ada gunanya merakam keterangan jika pada akhirnya, mereka terlepas dari sebarang bentuk hukuman. Hari demi hari double standard terus berlaku!" katanya.
Comments