Angkatan Muda HARAPAN Pahang ikrar perkukuh agenda anak muda
- Suara Keadilan

- 8 hours ago
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Angkatan Muda HARAPAN (AMH) Negeri Pahang di bawah kepimpinan baharu komited untuk meneruskan dan memperkukuh agenda reformasi dengan memberi tumpuan utama kepada usaha memperkasa anak muda, sekaligus memastikan suara dan hak golongan berkenaan terus diangkat dalam perjuangan Pakatan Harapan (PH) serta Kerajaan Perpaduan.
Susulan pembentukan kepimpinan baharu itu, AMH dalam satu kenyataan menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kepimpinan terdahulu yang diterajui oleh mantan ketuanya, Young Syefura Othman, atas segala jasa dan sumbangan sepanjang menerajui AMH negeri.
Katanya, kepimpinan Young Syefura yang juga Ahli Parlimen Bentong itu turut menjadi teladan dan sumber inspirasi kepada ramai anak muda untuk bangkit membawa perubahan positif demi negeri Pahang dan negara.
"Kami merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada Kerajaan Perpaduan Negeri Pahang kerana telah meluluskan Belanjawan Negeri Pahang Tahun 2026 yang membuktikan prestasi Kerajaan Perpaduan Negeri Pahang dalam menguruskan pembangunan negeri serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.
"Kami menyeru anak muda tanpa mengira kaum untuk menolak politik perkauman yang toksik dan budaya fitnah demi membina Negeri Pahang dan Malaysia yang harmoni, maju dan progresif.
"Kami juga mengecam sekeras-kerasnya Perikatan Nasional (PN) yang tidak berhenti-henti menabur fitnah dan tohmahan, serta mengapi-apikan sentimen perkauman dan agama yang memecahbelahkan masyarakat majmuk dan menjahanamkan perpaduan rakyat," kata mereka dalam kenyataan itu.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Ketua AMH Negeri Pahang merangkap Ketua DAPSY negeri, Ho Chi Yang; Timbalan Ketua AMH Negeri Pahang 1 merangkap Ketua AMK Negeri, Mohd Hilmy Yakap dan Timbalan Ketua AMH Negeri Pahang 2 merangkap Ketua Pemuda AMANAH Negeri, Wan Muhammad Rahmat Wan Hashim.









Comments