Angkat martabat bangsa melalui budaya membaca - PM Anwar
- Suara Keadilan
- Jun 19
- 1 min read

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru seluruh rakyat Malaysia agar menghidupkan semula budaya membaca sebagai asas pembinaan bangsa yang berilmu dan berdaya saing.
Beliau berkata tanpa semangat membaca, sesebuah negara tidak akan mampu bersaing kerana rakyatnya akan gagal memperkukuh penguasaan bahasa, ilmu dan teknologi.
"Kita mewarisi budaya dan tamadun yang gagah dan hebat. Generasi kini mempunyai tanggungjawab untuk menimba ilmu serta membentuk peribadi yang unggul demi mengangkat martabat bangsa dan negara.
"Saya yakin kita mampu melakukannya sekiranya kita bekerja bersama, bersatu sebagai satu pasukan dan mengekalkan landasan yang adil," katanya dipetik.
Anwar berkata begitu semasa merasmikan Seminar Kenegaraan Malaysia Madani: Guru Pemangkin Patriotisme Negara di Putrajaya, pada Rabu.
Lebih 1,000 warga pendidik, pesara serta bakal guru dari sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya hadir menyertai seminar tersebut.
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar; Ketua Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia, Datuk Dr Roslan Hussin; dan Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Fadlun Mak Ujud.
Dalam pada itu beliau mengakui bahawa minat membaca dalam kalangan generasi muda semakin merosot, terutamanya apabila media sosial menjadi tumpuan utama golongan tersebut.
"Pemberian buku semata-mata tidak lagi mencukupi. Minat membaca telah terhakis sejak beberapa dekad lalu, seperti yang dibangkitkan oleh pengkritik sosial Amerika, Allan Bloom dalam bukunya The Closing of the American Mind.
"Kita tidak boleh berputus asa, nilai kemanusiaan, jati diri dan semangat bangsa perlu dibentuk dengan kesedaran, bukan hanya dengan gedung-gedung hebat," tegas beliau.
Commenti