top of page

Anggota parti perlu berfikir matang hadapi masalah kepimpinan

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
May 20
2 min read

Anggota KEADILAN disaran supaya bertindak secara rasional dan berprinsip ketika berdepan masalah kepimpinan, termasuk situasi melibatkan tindakan keluar parti oleh segelintir pemimpin.


Mantan Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru, Mohd Fakhrulrazi Mokhtar (gambar) berkata, setiap tindakan ahli perlu berpaksikan matlamat sama ada untuk menyelamatkan parti, mempertahankan prinsip atau membina semula kekuatan akar umbi.


"Bila berlaku krisis pimpinan dan ada ahli parti keluar parti, tindakan yang paling berguna biasanya bergantung pada matlamat ahli itu sendiri," kata beliau dalam satu kenyataan.


Menurutnya, anggota KEADILAN perlu mendapatkan maklumat yang sahih dan tidak mudah terpengaruh dengan khabar angin atau maklumat tidak tepat yang tersebar di media sosial.


"Jangan terus percaya khabar angin atau potongan video. Semak kenyataan rasmi parti, pimpinan negeri atau cabang serta laporan media yang kredibel," jelasnya.


Beliau turut mengingatkan agar anggota membezakan antara konflik individu dan perjuangan parti yang lebih besar dan tidak tenggelam dalam hujah emosi segelintir pemimpin.


"Kadang-kadang krisis berpunca daripada perebutan kuasa individu, bukan dasar parti. Ahli perlu nilai sama ada perjuangan asal parti masih relevan atau sudah menyimpang," sarannya.


Dalam masa sama, beliau menasihatkan anggota untuk tidak terjebak dalam perpecahan label melabel yang boleh memburukkan lagi keadaan dalaman parti.


"Jangan cepat melabel pengkhianat atau musuh sesama ahli. Krisis dalaman biasanya jadi lebih buruk bila ahli akar umbi ikut bertelagah," katanya.


Fakhrulrazi menggesa agar anggota menggunakan saluran dalaman parti untuk menyuarakan pandangan serta mendesak kepimpinan memberikan penjelasan terbuka.


"Gunakan mesyuarat cabang atau kawasan, suarakan pandangan melalui usul atau memorandum, dan desak kepimpinan beri penjelasan terbuka."


Beliau menambah bahawa integriti pimpinan perlu dinilai secara teliti, khususnya dalam aspek pengurusan krisis dan rekod kepimpinan.


Katanya, fokus utama parti harus kekal kepada kepentingan rakyat bukan semata-mata mempertahankan kedudukan.


"Parti politik wujud untuk masyarakat. Ahli yang matang menilai siapa benar-benar membawa penyelesaian kepada isu ekonomi, kos hidup, pekerjaan dan pendidikan."


Selain itu, beliau turut menyifatkan krisis yang berlaku boleh peluang untuk reformasi organisasi dan melahirkan kepimpinan baharu yang lebih diyakini.


Selain itu, Fakhrulrazi juga menasihatkan agar anggota tidak gelabah untuk meninggalkan parti mengikut individu tertentu.


Menurut beliau, sejarah politik menunjukkan krisis parti boleh menjadi titik perubahan sama ada ke arah pengukuhan atau kelemahan.


"Ahli yang tenang, berfikir secara kritikal dan fokus pada prinsip biasanya lebih membantu keadaan daripada tindakan terburu-buru," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page