Anggota KEADILAN kental, kita pernah lalui cabaran lebih besar - Dr Fuziah
- Suara Keadilan
- 10 hours ago
- 2 min read

Setiausaha Agung KEADILAN, Dr Fuziah Salleh menepis anggapan mengatakan parti akan bergolak berikutan situasi pemilihan yang agak meruncing melibatkan penyokong calon timbalan presiden.
Menurut Fuziah, anggota KEADILAN telah terbiasa dengan budaya pemilihan dan jiwa mereka kental menghadapi cabaran kempen terbuka serta suasana selepas pemilihan.
"Saya yakin KEADILAN ini ibarat 'rebus tak masak, cincang tak hancur'. Anggota KEADILAN membesar di jalanan, anggota KEADILAN kental.
"Kita dah lalui cabaran lebih besar, Langkah Sheraton. Setiap kali pemilihan kita survive, kita bangkit lebih kukuh," katanya apabila ditanya pemberita selepas merasmikan Kongres Wanita dan Angkatan Muda Keadilan di Berjaya Waterfront Hotel di Johor Bahru malam ini.
Mengenai ungkapan 'jangan tebuk lubang pada kapal' yang disebut dalam ucapannya, Fuziah berkata beliau tidak merujuk kepada sesiapa.
Hal itu, katanya, adalah nasihat umum kepada semua pihak yang berada dalam bahtera KEADILAN.
"Kita dalam organisasi perlu bina organisasi bersama. Orang kata sebahagian tubuh sakit, seluruh badan sakit.
"Jadi saya guna istilah, kita ibarat duduk dalam satu kapal, kapal itu ditebuk lubang, maka kapal akan karam.
"Jadi tanggungjawab setiap anggota dalam organiasasi untuk menjaga kapal. Kita semua bertanggungjawab untuk menjaga organisasi ini dan bertanggungjawab mengangkat Datuk Seri Anwar selaku perdana menteri penggal kedua. Maka harus kita jaga (parti) dengan baik," katanya.
Fuziah juga menasihati anggota agar tidak memperpanjangkan sebarang rasa tidak puas hati dalam pemilihan kerana parti perlu bersatu semula untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada hujung tahun ini.
"Kita perlu bertaut cepat, kita akan menghadapi PRN Sabah, pilihan raya umum, jadi kita tidak boleh mengambil masa terlalu lama," katanya lagi.
Fuziah merasmikan Kongres Nasional Wanita dan AMK berikutan Timbalan Presiden KEADILAN Datuk Seri Rafizi Ramli yang secara tradisinya sebagai perasmi enggan merasmikan kongres sayap parti itu.