top of page

Analisis sokongan KEADILAN bukan kelemahan, persediaan hadapi PRU

  • Writer: Azuan Ab Rahman
    Azuan Ab Rahman
  • 11 hours ago
  • 1 min read

Analisis dalaman 66 kerusi oleh Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) bukanlah usaha mendedahkan kelemahan parti, sebaliknya langkah memperkukuh kekuatan parti itu menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-16.


Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa (gambar) berkata, analisis berkenaan menjurus kepada memperkukuh kedudukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta kekuatan KEADILAN, sekaligus memastikan PH mampu kekal kukuh menghadapi PRU-16.


"Kajian itu tidak harus disalah tafsir kerana fokus utamanya ialah memberi gambaran realistik mengenai kedudukan PH di kerusi Parlimen yang ditandingi dan dimenangi sebelum ini.


"Kajian ini adalah lebih kepada mengemas kini jentera supaya lebih berhati-hati supaya menumpukan gerak kerja pilihanraya nanti menjadi lebih baik, bukan sebaliknya," kata beliau dalam satu kenyataan.


Sebuah portal baru baru ini menyiarkan laporan memaparkan analisis strategik dalaman bertajuk Analisis Strategik PRU16: Ringkasan Mengikut Tier.


Analisis itu mendedahkan KEADILAN berada dalam mod berjaga-jaga susulan penguasaan di beberapa kerusi utama dilihat semakin terhakis.


Timbalan Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar kemudian tampil menjelaskan analisis strategik yang menunjukkan penurunan sokongan di beberapa kawasan utama lahir daripada semangat muhasabah diri parti.


Beliau menegaskan, dokumen itu menekankan keperluan merapatkan saf, memperkukuh jentera serta memfokuskan gerak kerja bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page