Analisis: PN akan hilang majoriti jika 6 MP UMNO disabitkan bersalah


Majoriti yang tipis bukan satu-satunya perkara yang membimbangkan Perikatan Nasional (PN), mereka juga boleh kehilangan majoriti sekiranya enam Ahli Parlimen disabitkan bersalah di mahkamah.


Kesemua enam Ahli Parlimen tersebut merupakan ahli UMNO iaitu Datuk Seri Najib Razak, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin, Datuk Seri Azeez Rahim dan Datuk Seri Ahmad Maslan.


Najib selaku Ahli Parlimen Pekan berdepan dengan 21 pertuduhan pengubahan wang haram dan empat tuduhan salah guna kuasa membabitkan RM2.28 bilion dana 1MDB.


Zahid selaku Ahli Parlimen Bagan Datuk berdepan tujuh tuduhan rasuah, 12 tuduhan pecah amanah dan 27 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akal Budi.


Tengku Adnan selaku Ahli Parlimen Putrajaya pula menghadapi pertuduhan menerima rasuah RM1 juta berhubung projek pembangunan di Lot 228, Jalan Semarak, Kuala Lumpur.


Bung Mokhtar selaku Ahli Parlimen Kinabatangan didakwa dengan tiga pertuduhan menerima rasuah dengan kesemuanya melebihi RM2 juta.


Azeez sebagai Ahli Parlimen Baling didakwa tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM5.2 juta berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah, serta sembilan pertuduhan pengubahan wang haram hampir RM140 juta manakala abangnya menghadapi dua pertuduhan bersubahat.


Ahmad Maslan selaku Ahli Parlimen Pontian menghadapi dua pertuduhan, iaitu gagal mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada Najib pada 2013 kepada LHDN, dan memberi penyataan palsu kepada SPRM.


Dalam Perkara 48, Bab 4, Badan Perundangan Persekutuan dalam Perlembagaan Persekutuan menyatakan seseorang hilang kelayakan untuk menjadi ahli mana-mana satu Majlis Parlimen jika:


"Dia telah disabitkan atas suatu kesalahan oleh sesuatu mahkamah di Persekutuan dan dihukum penjara selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang daripada dua ribu ringgit dan dia tidak mendapat pengampunan bebas."


Ini bermakna, jika keenam-enam pemimpin UMNO itu disabitkan bersalah, mereka akan hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen, sekali gus PN kehilangan enam kerusi dalam kerajaan.


Justeru, 113 kerusi PN akan berkurangan kepada 107 dan hilang majoriti mudah iaitu 112 kerusi, berbanding 108 kerusi yang dimiliki Pakatan Harapan (PH).


Ini akan menyebabkan Parlimen tergantung kerana PH dan PN tidak mempunyai majoriti mudah.


Sudah tentu apabila berlaku kekosongan terhadap keenam-enam kerusi itu, pilihan raya kecil perlu diadakan.


Namun, jika tempoh untuk mengadakan pilihan raya kecil kurang daripada dua tahun sebelum Pilihan Raya Umum diadakan, keenam-enam kerusi tersebut mungkin akan dibiarkan kosong.


Ini akan menimbulkan krisis baharu kerana kerajaan campuran perlu dibentuk.


Sebab itu, PN bertungkus-lumus mengukuhkan kedudukan dalam kerajaan dan enam pemimpin UMNO itu juga sedang cuba untuk melepaskan diri daripada sabitan mahkamah.


Episod Ahli Parlimen lompat parti juga mungkin akan berlaku sekali lagi bagi mendapatkan majoriti mudah.


Ini bermakna, pergelutan kuasa akan berterusan sehingga ke Pilihan Raya Umum Ke-15.


Malangnya, semua ini berlaku ketika rakyat memerlukan sebuah kerajaan yang stabil dan dapat menjaga kebajikan rakyat yang terjejas dengan kesan ekonomi dan kehilangan pekerjaan akibat wabak COVID-19.


Akhirnya, yang menjadi mangsa kepada kerakusan kuasa adalah rakyat.


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio