Politik generasi muda Malaysia jauh lebih terbuka dan kritis terhadap dasar negara.
Bagi ikon anak muda, Adam Adli Abdul Halim yang pernah bergiat dalam politik mahasiswa sejak sedekad lalu, politik generasi muda pada waktu ini lebih kepada ingin mengelakkan kesilapan generasi veteran yang menyebabkan masyarakat Malaysia menjadi berpecah belah dan tidak bersatu padu.
Katanya, berbanding generasi veteran yang mahukan politik pembangunan melulu, generasi muda lebih tertumpu kepada politik dasar dan nilai.
"Politik pembangunan berkait dengan membangunkan ekonomi. Akhirnya diterjemahkan kepada projek mega dan sebagainya.
"Sedangkan golongan muda lebih tumpu kepada politik berkait dasar, isu, nilai dan mereka juga ambil hal ini untuk cabar masalah lama yang tak dapat diselesaikan. Misalnya masalah perkauman, agama dan sebagainya.
"Memang jelas golongan muda dalam media sosial, dalam penulisan, penerbitan, atau yang buat video (sendiri), mereka sentiasa tekankan isu berkaitan identiti, perkauman, gender dan sebagainya.
"Inilah politik baru yang sebelum ini tidak ditonjolkan, kerana mereka faham pengalaman lampau, dan mereka tak nak generasi hari ini lalui (pengalaman sama)," katanya dalam wawancara bersama Suara Keadilan.
Namun, Adam tidak pula berpendapat anak muda menolak politik pembangunan.
Bagi beliau, pembangunan penting kepada generasi muda namun mereka mahu pembangunan mampan bukan pembangunan terdesak seperti generasi terdahulu.
"Orang muda tidak tolak pembangunan. Mereka faham pembangunan perlu melalui prinsip yang jelas. Alam sekitar perlu dijaga, wujudkan pembangunan mampan. Tak boleh pembangunan untungkan sesetengah pihak, buat rumah tak ada orang mampu beli. Beri aset kepada orang kaya.
"Orang muda tahu masalah hari ini tidak hanya jejaskan golongan veteran tetapi akan jejaskan mereka sendiri di masa hadapan.
"Satu hari nanti mereka inilah yang akan menanggung dan menyelesaikan masalah pembangunan tidak mapan
"Saya rasa generasi muda nampak apa yang berlaku hari ini, sedikit sebanyak adalah masalah generasi sebelum ini melihat politik, pembangunan dan sebagainya (secara tidak matang). Mereka tak nak ulang (kesilapan lampau)," katanya lagi.
Comments