Oleh: Abdullah Zaid
Anak muda atau Undi 18 menjadi masalah kepada Kerajaan Perpaduan dalam siri Pilihan Raya Umum atau Pilihan Raya Negeri yang lalu kerana cenderung terpengaruh kepada propaganda pembangkang di media sosial.
Bagi mantan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik, anak muda Malaysia perlukan pemerkasaan pengetahuan politik sebelum mengundi agar mereka lebih matang memilih.
Katanya, tanggungjawab pemerkasaan itu tidak hanya terletak di bahu Kementerian Pendidikan sahaja sebaliknya peranan daripada jabatan lain, terutama Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) juga perlu sebagai agen penyampaian dalam mengendalikan isu-isu pendidikan politik.
"Kementerian penerangan (KKD) bukan sekadar menyampaikam maklumat sahaja, tetapi agensi seperti RTM dan Bernama perlu menerapkan unsur pendidikan politik.
"Ia bagi memastikan golongan belia ini diberi pendedahan politik yang lebih matang," kata Dr Maszlee.
Saranan Dr Maszlee itu bertepatan pengumuman Timbalan Menteri Belia dan Sukan (KBS) Adam Adli Abdul Halim sebelum ini yang berkata KBS sedang menyemak dan menyusun semula Program Pendidikan Literasi Politik dengan Kementerian Pendidikan bagi menarik minat belia terutamanya yang telah tamat pengajian persekolahan susulan Undi18.
Susulan itu, kementerian tersebut mewujudkan Program Sekolah Rukun Negara khusus kepada golongan belia berusia antara 15 hingga 30 tahun.
Modul itu antara lain akan memberi pendidikan dan penerangan Perlembagaan Persekutuan, Parlimen, proses pengundian, prinsip Rukun Negara, pilihan raya dan kerajaan tempatan serta memupuk semangat patriotisme.
Comments