
Anak muda generasi pelapis kepimpinan negara perlu mewarisi idealisme dan nilai etika bagi menjamin Malaysia tidak terjerumus ke lembah korupsi sehingga dipandang sebelah mata oleh masyarakat antarabangsa.
Hal itu ditegaskan Presiden KEADILAN di dalam program Temu Anwar di Port Dickson, semalam.
Anwar yang mensyarahkan kitab Ibnu Khaldun mengungkap mengenai teori naik dan jatuhnya tamadun berkata, akibat keselesaaan biasanya manusia akan melupakan prinsip dan nilai murni.
"Apa kata Ibnu Khaldun? Mulanya masyarakat seperti masyarakat Malaysia, sama ada di kampung, desa, dalam bahasa Arab disebut tamadun badawi, tidak ada ilmu tidak ada sekolah, tidak ada prinsip urustadbir. Tamadun orang nomad, pindah randah.
"Lama kelamaan ada semangat berkerjasama untuk bina negara sendiri, tidak terus diceroboh kawasan merka, baik oleh lanun atau raja dari kawasan lain. Ada samangat kekitaan, perpaduan baru.
"Kata Ibnu Khaldun generasi pertama bagus, tuntut kemerdekaan, bangunkan rakyat, generasi kedua sudah selesa.
"Waktu itu (kalau diumpamakan Malaysia) projek, kontrak, balak ambil. Idealisme tak ada lagi.
"Sampai generasi ketiga idealisme hilang terus. Semua yang masuk politik, persatuan hanya untuk jadi kaya, senang, terkenal," katanya.
Justeru Anwar bertanya kepada khalayak yang kebanyakannya anak muda, di peringkat manakah tamadun Malaysia?
Katanya, secara sedar negara telah berada di peringkat korupsi yang bermaharaja lela atau dalam istilah modennya sistemik.
"Anak muda sekarang di peringkat mana? Tentunya bukan peringkat idealisme kerana hari hari kita bicara rasuah dan rasuah bukan satu orang tetapi sistem. Baca suratkhabar 1MDB, kemudian DNB. Pemimpin silih berganti, samun juga sama berganti.
"Saya ajak saudara saudara perkuat tuntutan kalangan muda. Muda selalu disekalikan dengan idealisme kerana orang tua banyak sangat kompromi, pertimbangan apa isteri saya kata, anak saya macam mana? Orang muda patut ada idealisme dan nilai etika.
"Saya ingatkan korupsi di Malaysia bukan azam baki seorang, ia sistemik. Macam mana 1MDB boleh berlaku? kerana SPRM lemah, penguatkuasaan polis lemah, badan kehakiman lemah dan pemimpin bersekongkol, termasuk golongan muda yang menyokong parti berkenaan," katanya.
Pengerusi Pakatan Harapan itu bagaimanapun tidak menyalahkan sikap asabiyah membina negara. Membina bangsa dan mencintai tanah air dianggap positif tetapi katanya, asabiyah yang diamalkan oleh pemerintah hari ini ialah asalkan Melayu maka tidak salah lakukan jenayah apa pun.
"Saya sebut di Parlimen ada tauke Melayu lapangan terbang dia dapat, pelabuhan dia dapat, tepung dia, gula dia, mana boleh begitu. Kalau nak tolong, ramai anak muda (Melayu) yang hidupkan syarikat, bagi peluang bantu. Tetapi ada kawan di sebelah sana (parti lawan) bagitahu saya, Anwar sekurang kurangnya (orang itu) Melayu.
"Ciri perkauman itu ada. Biar punggah kekayaan, rasuah, bolot kekayaan negara asalkan Melayu ok. Kalau betul sikap begitu. Nabi sebut, mati dia itu jahiliah. Jahil kemanusiaan, akidah, akhlak," katanya.
Oleh itu, Anwar mengingatkan jangan sampai sabagaimana teori Ibnu Khaldun mengenai generasi keempat, iaitu kebinasaan melanda negara.
Malaysia, kata beliau, tidak perlu sehingga fasa berkenaan dan generasi muda perlu bertindak untuk mengubah kembali haluan pemerintahan kepada idealisme dan nilai etika yang betul.