top of page

Anak muda jangan tinggalkan Pasir Raja, PH tawar peluang ekonomi

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 2 days ago
  • 2 min read

Menghentikan aliran penghijrahan anak muda ke bandar demi mencari pekerjaan menjadi antara keutamaan calon Pakatan Harapan (PH) di Pasir Raja, Fakharuddin Moslim yang bertekad mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi supaya generasi muda dapat membina masa depan di kawasan sendiri.


Beliau berkata, Pasir Raja memiliki potensi besar menerusi sektor pertanian, pelancongan berasaskan alam semula jadi, perusahaan kecil serta komuniti FELDA.


"Namun, rakyat Pasir Raja masih berhadapan dengan cabaran seperti peluang pekerjaan yang terhad, kemudahan asas yang memerlukan penambahbaikan serta keperluan menyediakan lebih banyak peluang kepada generasi muda untuk membina masa depan di kawasan sendiri," katanya dalam kenyataan.


Fakhruddin berkata demikian ketika menggariskan tiga tekad utama yang akan menjadi agenda perjuangannya jika diberi mandat mewakili Pasir Raja.


Menurut beliau, tekad pertama ialah memperkasa ekonomi setempat kerana ekonomi yang kukuh menjadi asas kepada kesejahteraan rakyat.


"Saya akan memperjuangkan lebih banyak peluang pekerjaan dan keusahawanan supaya anak-anak tempatan tidak perlu berhijrah semata-mata untuk mencari rezeki.


"Saya juga komited memperkasa usahawan kecil, peniaga dan komuniti FELDA melalui latihan, akses kepada pembiayaan, pemasaran digital serta program pembangunan perniagaan yang mampu meningkatkan daya saing mereka," katanya.


Beliau berkata kerjasama dengan kerajaan negeri dan agensi berkaitan akan diperkukuh bagi menarik pelaburan yang bersesuaian dengan potensi Pasir Raja, khususnya dalam sektor pertanian, industri asas tani, pelancongan dan ekonomi luar bandar.


"Saya percaya setiap pelaburan yang dibawa mesti memberi manfaat secara langsung kepada rakyat tempatan melalui peluang pekerjaan dan peningkatan pendapatan.


"Dalam era ekonomi digital, saya juga akan menggalakkan penggunaan teknologi dan platform digital dalam kalangan usahawan tempatan supaya produk dan perkhidmatan mereka mampu menembusi pasaran yang lebih luas," katanya.


Mengulas tekad kedua, Fakharuddin berkata kemudahan asas yang baik adalah hak setiap rakyat dan beliau akan memperjuangkan penyelesaian terhadap isu jalan raya rosak, sistem perparitan, penyelenggaraan infrastruktur serta penambahan lampu jalan di kawasan berisiko.


"Saya juga akan memberi perhatian kepada keperluan menambah lampu jalan di kawasan berisiko, termasuk di laluan masuk ke FELDA Bukit Besar dan kawasan yang dikenal pasti sering menjadi tumpuan pengguna jalan raya," katanya.


Beliau berkata memandangkan masa depan Pasir Raja bergantung kepada generasi mudanya, beliau akan menumpukan lebih banyak program latihan kemahiran, TVET dan peningkatan kebolehpasaran supaya anak-anak muda mempunyai kemahiran yang memenuhi keperluan industri masa kini.


"Saya juga mahu menyediakan lebih banyak ruang untuk anak muda mengembangkan bakat dalam bidang sukan, inovasi dan keusahawanan agar mereka menjadi generasi yang lebih aktif, kreatif dan berdaya saing," katanya.


Beliau menegaskan ketiga-tiga tekad itu bukan sekadar manifesto pilihan raya, sebaliknya komitmen untuk memastikan pembangunan Pasir Raja dilaksanakan secara menyeluruh dan memberi manfaat kepada setiap lapisan masyarakat.


"Sebagai Ahli Dewan Negeri, saya akan menjadi penghubung yang berkesan antara rakyat, Kerajaan Negeri Johor dan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan setiap isu rakyat dibawa kepada perhatian pihak berkaitan serta setiap peluang pembangunan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk Pasir Raja," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page