AMK Wilayah Persekutuan puji DBKL gantung penguat kuasa untuk siasatan
- Suara Keadilan

- Mar 31
- 1 min read

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Wilayah Persekutuan memuji tindakan pantas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menggantung tugas tiga anggota penguat kuasa yang terlibat dalam insiden mencederakan penjaja belon, Muhamad Za’imuddin Azlan kelmarin.
Naib Ketua 1 Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Wilayah Persekutuan, Mohammad Fitri Ramli berkata, langkah itu bersesuaian bagi memastikan siasatan dalam dijalan nanti dilakukan secara telus dan saksama.
"AMK Wilayah Persekutuan memuji tindakan segera DBKL yang menggantung tugas anggota penguat kuasa terlibat, sebagai langkah awal memastikan proses siasatan dapat dijalankan secara adil dan telus.

"Kami tidak menafikan keperluan mematuhi peraturan serta undang-undang yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan, namun kami juga menegaskan bahawa penguatkuasaan mestilah dilaksanakan dengan hemah, hikmah dan penuh rasa kemanusiaan. Undang-undang itu berkuatkuasa bagi kedua-dua pihak," katanya dalam kenyataan.
Semalam, AMK Wilayah turut berkesempatan menziarahi Muhamad Za’imuddin yang baru-baru ini tular di media sosial dan mengalami kecederaan terlantar di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang.
"Dalam pertemuan tersebut, kami berpeluang bertanya khabar kepada beliau dan keluarga.
"Kami dimaklumkan bahawa keadaan beliau kini stabil, meskipun mengalami kecederaan pada bahagian tulang belakang dan perlu menjalani beberapa siri pemeriksaan lanjut bagi menentukan tahap kecederaan yang sebenar.
"Sebagai tanda keprihatinan, AMK Wilayah Persekutuan turut menyerahkan sedikit sumbangan kewangan bagi membantu meringankan beban kos rawatan serta keperluan harian beliau," katanya.
Sehubungan itu, Fitri menggesa agar semua pihak menghentikan sebarang spekulasi liar serta memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh, bebas dan berintegriti berhubung insiden itu.









Comments