AMK tuntut Suruhanjaya Siasatan Diraja siasat salah laku hakim



Keputusan Jawatankuasa Etika Hakim (JEC) untuk menggantung tugas Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer, Hakim Mahkamah Rayuan selama 6 bulan berkuatkuasa 4 Februari hingga 27 Ogos 2021 ini mengejutkan rakyat Malaysia.


Dalam masa sama, Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia, Akmal Nasir berkata rakyat pula masih tertunggu-tunggu janji kerajaan mahu menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja berkenaan dakwaan Dr Hamid membabitkan salah laku hakim Mahkamah Rayuan dan Persekutuan beberapa tahun lalu.


"Ini menjadikan Datuk Dr Hamid sebagai hakim pertama yang digantung tugas selepas Akta Jawatankuasa Etika Hakim 2010 berkuat kuasa. Prosiding inkuiri JEC ini turut dianggotai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat; Presiden Mahkamah Rayuan, dan beberapa hakim kanan yang lain.


"Tanpa berniat mencampuri keputusan JEC, AMK Malaysia ingin menarik perhatian terhadap kenyataan terbuka oleh Yang Arif Hamid pada Ogos 2018 semasa Persidangan Undang-Undang Antarabangsa Malaysia, berhubung dakwaan terdapat campur tangan terbuka Badan Kehakiman membabitkan salah laku hakim Mahkamah Rayuan dan Persekutuan.


"Dakwaan berat ini telah menjurus kepada keputusan kabinet pada Februari 2019 untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat perkara ini yang dilihat sebagai suatu pendedahan yang menggemparkan oleh seorang hakim Mahkamah Rayuan.


"Lebih menguatkan lagi dakwaan, Datuk Dr Hamid juga telah membuat satu afidavit setebal 65 muka surat pada tahun 2019 untuk menyokong pendedahan yang beliau buat sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan.


Bagaimanapun, kata Ahli Parlimen Johor Bahru itu lagi, penantian rakyat jelas tidak berhasil kerana tidak kedengaran ura-ura Suruhanjaya Diraja itu akan ditubuhkan.


Sedangkan, katanya, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) pada September 2020 juga telah menggesa penubuhan suruhanjaya siasatan, namun masih tiada sebarang jawapan daripada pihak kerajaan.


"Sehubungan itu, AMK Malaysia menggesa agar Kerajaan Perikatan Nasional menyatakan komitmen berhubung RCI tersebut serta memberikan perkembangan terkini siasatan yang dijalankan.


"Ini amat penting bagi mengembalikan kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap sistem kehakiman negara terutama selepas beberapa keputusan dalam kes berprofil tinggi yang telah menimbulkan pertikaian awam kebelakangan ini," katanya lagi.


Menurut Akmal, penubuhan suruhanjaya siasatan itu penting bagi rakyat mengetahui apakah yang sebenarnya berlaku dengan memanggil saksi-saksi yang disebutkan dalam afidavit Dr Hamid tampil memberi keterangan.





0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio