AMK, TIDAR Indonesia tegaskan solidariti serantau tangani krisis Asia Barat
- Suara Keadilan

- 7 days ago
- 2 min read

Pertemuan antara Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Republik Indonesia, Bapak Prabowo Subianto baru baru ini menjadi asas penting dalam memperkukuh peranan konstruktif kedua-dua negara dalam mencari penyelesaian kepada krisis Asia Barat yang sedang memanas.
Demikian ditegaskan Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia, Kamil Munim dan Ketua Umum Tunas Indonesia Raya (TIDAR) Indonesia, Rahayu Saraswati.
Menurut mereka, pertemuan itu telah memperkukuh solidariti serantau bagi mendepani konflik yang semakin meruncing yang mengkucar kacirkan ekonomi global.

"Atas semangat solidariti serantau, AMK dan TIDAR menyokong teguh kepimpinan kedua-dua negara dalam memperkukuh kesepaduan ASEAN yang berprinsip, berteraskan keamanan, kestabilan, dan kesejahteraan kolektif rakyat kita," kata mereka dalam kenyataan bersama.
Menurut AMK dan TIDAR, mereka menyokong pendirian terbaharu dan pandangan bersama yang dinyatakan oleh kedua-dua pemimpin, terutamanya seruan memperhebat usaha diplomasi, melindungi nyawa orang awam, dan mengemudi krisis Asia Barat sebagai satu blok yang bersatu.

"Kami menekankan keperluan mendesak untuk mempertingkatkan usaha diplomasi pelbagai hala bagi meredakan ketegangan (de-escalation), memelihara nyawa orang awam, dan menggerakkan jalan penyelesaian yang berwibawa ke arah kedamaian yang berkekalan," katanya.
Mereka juga menekankan kelangsungan rantaian bekalan global dan keselamatan laluan perdagangan strategik, termasuk di Selat Hormuz yang mesti dipelihara bagi mengelakkan gangguan lanjut terhadap pasaran tenaga dunia.
"Sebagai sayap pemuda bagi Parti Keadilan Rakyat (Malaysia) dan Parti Gerindra (Indonesia), AMK dan TIDAR mewakili suara pemimpin muda serta belia dari kedua-dua buah negara, kami menegaskan semula komitmen untuk memperkasakan suara generasi baharu yang berdiri teguh demi keamanan, menolak keganasan dan menjunjung undang-undang antarabangsa sebagai tonggak utama kepada sebarang penyelesaian yang adil dan berkekalan," katanya mereka lagi.
Tambah mereka, Malaysia dan Indonesia akan terus memainkan peranan sebagai jambatan dialog dalam landskap geopolitik yang mencabar, bukan sebagai medan perpecahan.




Comments