Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Terengganu menentang keras usaha kerajaan Pas Terengganu yang ingin menambak pantai bagi membina Kuala Nerus Sunrise City.
Menurut Timbalan Ketua AMK Terengganu, Wan Muhamad Haikal Wan Ghazali projek besar tersebut memerlukan penambakan pantai yang luas bagi membina kediaman, pusat komersil, perhotelan dan perindustrian selain pusat rekreasi dan taman hiburan air.
"AMK secara prinsipnya menentang sebarang projek pembangunan yang merosakkan alam sekitar walaupun ia memberi kebaikan dari segi ekonomi.
"Kita sering mendengar alasan yang sering diberikan demi ekonomi rakyat bagi menghalalkan projek ini. Namun apa yang berlaku akhirnya projek seperti ini hanya menguntungkan golongan kapitalis dan memberi kesan buruk kepada penduduk sekitar.
"Selain kehilangan pendapatan bagi nelayan tempatan, kita juga kehilangan khazanah alam akibat pembangunan serta berdepan pencemaran sisa buangan," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Wan Muhamad Haikal lagi, isu yang sepatutnya diselesaikan oleh kerajaan Pas adalah fenomena air pasang besar yang telah menghakis pantai Kuala Nerus dan perkara itu membelengu penduduk sekitar.
Bukannya pembinaan projek mewah yang merosakkan ekosistem eko-sistem dan hanya memburukkan lagi keadaan.
"Nampaknya kerajaan Pas Terengganu masih tidak serik dengan kesan buruk akibat daripada projek penambakan pantai terhadap kehidupan manusia dan juga alam sekitar.
"Jika di Pulau Pinang, kerajaan negeri telah membatalkan Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang namun sehingga ke hari ini pemimpin Pas masih meratib isu sama dan berlagak seperti wira, mengapakah isu tambak laut di Terengganu tidak dipersoal? Adakah kerana semata-mata Pulau Pinang ditadbir oleh DAP?
"Bagaimana pula negeri yang ditadbir Pas seperti Terengganu, Kedah dan Kelantan yang sering ditimpa musibah banjir lumpur akibat kerja pembalakan? Pemimpin Pas usah berlagak seperti juara isu tambak laut jika Kerajaan Negeri yang ditadbir Pas melakukan perkara sama," katanya lagi.
Sehubungan itu, Wan Muhamad Haikal mencabar pemimpin Pas Terengganu bersuara terhadap kerajaan negeri untuk tidak meneruskan projek tersebut yang disifatkan banyak pihak tidak jauh beza dengan pentadbiran BN, yang membazirkan wang royalti petroleum sebelum ini dengan projek gajah putih.
Comentarios