AMK Tenom anjur perlawanan bola persahabatan dengan belia tempatan
- Suara Keadilan
- 2 hours ago
- 1 min read

Oleh: Shaiful Annuar S
Padang Bandaran Tenom bergema dengan sorakan dan semangat kesukanan apabila berlangsungnya Perlawanan Bola Sepak Persahabatan antara Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Tenom dan pasukan bola sepak Belia Tenom baru baru ini.
Perlawanan yang bermula jam 4.30 petang itu diadakan bagi memupuk semangat kesukanan, mempererat hubungan generasi muda, serta menyemarakkan perpaduan antara AMK dan komuniti setempat.
Ketua AMK Pusat merangkap Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abd Munim turut turun padang beraksi pada separuh masa pertama bersama Ketua AMK Tenom, Saudara Aljakalil Biou.
Pertandingan yang penuh aksi itu menyaksikan pasukan AMK Tenom menewaskan Belia Tenom dengan keputusan 3-2.
Sorakan penonton menggamatkan suasana, membuktikan bahawa sukan mampu menjadi jambatan penghubung antara pemimpin dan rakyat.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Ketua Cabang Tenom, Herbert Roger London, yang turut merakam penghargaan kepada semua pemain dan penganjur atas kejayaan menjayakan acara tersebut.

Sebelum perlawanan itu, Muhammad Kamil Munim turut mengadakan pertemuan dengan jentera parti di Melalap serta melakukan kunjungan Ziarah Madani ke Kampung Kalang Tenom bagi menyampaikan sumbangan kepada penduduk setempat.
Perlawanan persahabatan itu membuktikan bahawa sukan mampu menyatukan hati dan minda, selain memperkukuh tekad generasi muda untuk terus memainkan peranan penting dalam pembangunan masyarakat.





