top of page

AMK Selangor sokong larangan aktiviti arak, judi di sekolah

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 16 minutes ago
  • 2 min read

ree

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) yang menegaskan larangan terhadap sebarang aktiviti melibatkan arak dan perjudian di sekolah kerana hal itu bercanggah dengan semangat Falsafah Pendidikan Negara serta nilai moral masyarakat Malaysia.


Ketua Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama AMK Selangor, Anwar Abd Malek (gambar) berkata, sekolah merupakan institusi pembentukan nilai, jati diri dan akhlak pelajar yang tidak boleh dicemari oleh aktiviti kurang bermoral.


"Sekolah merupakan insitusi pembangunan sahsiah pelajar dan ia (tentunya) bertentangan sama sekali dengan aktiviti judi dan minum arak yang dikenali sebagai aktiviti tidak bermoral," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Menurut Anwar, fakta menunjukkan bahawa banyak kemalangan jalan raya di Malaysia berpunca daripada pemandu di bawah pengaruh alkohol, begitu juga kajian kesihatan membuktikan risiko bahaya minuman keras berlebihan.


"Fakta kemalangan jalan raya di Malaysia yang melibatkan pemandu di bawah pengaruh alkohol (tinggi) serta kajian risiko bahaya minuman alkohol terhadap kesihatan juga menyokong kewajaran pendirian PMX itu," kata beliau.


Selain itu, Anwar menegaskan, pendirian kerajaan itu tidak boleh disalah tafsir sebagai usaha menyekat hak bukan Islam kerana ianya merupakan respons terhadap isu majlis yang melibatkan arak dan judi di sekolah, bukan larangan terhadap aktiviti keagamaan atau kebudayaan masyarakat lain.


"Semua sekolah tanpa kecuali mesti menjunjung Falsafah Pendidikan Negara dan mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan Kementerian Pendidikan serta Akta Pendidikan yang digubal dalam usaha mencapai pembinaan generasi yang bermoral tinggi serta saling hormat menghormati," katanya.


Justeru, beliau menegaskan isu minuman beralkohol tidak seharusnya dijadikan polemik politik, sebaliknya dilihat sebagai peluang mendidik dan memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai risiko serta mudarat arak dan perjudian.


"AMK Selangor dalam hal ini menyatakan bahawa sesuatu perkara yang tidak menepati kebenaran dan moral itu perlu diperbetulkan walaupun didakwa ia telah menjadi kebiasaan semenjak merdeka," katanya lagi.


Katanya, pendirian berkenaan sejajar dengan semangat Malaysia Madani yang menekankan nilai moral, kesederhanaan dan kesejahteraan sosial.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page