AMK Selangor kecam perbuatan hina PM, tuntut tindakan tegas
- Suara Keadilan

- Nov 1
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor mengecam keras tindakan biadab segelintir individu yang menyebarkan imej janaan kecerdasan buatan (AI) menghina Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim di media sosial.
Ketuanya, Muhammad Iman Haziq Mohammad Hamizi (gambar) berkata, perbuatan itu melampaui batas adab serta etika apabila memaparkan Perdana Menteri mengenakan sari bercorak bendera Israel, simbol yang amat sensitif kepada rakyat Malaysia.
"Bila jari lagi laju dari otak, mereka menganggap semua benda boleh dijadikan bahan lawak hingga melanggar sempadan etika.
"Di luar negara, Perdana Menteri dihormati dan disanjung terutama selepas kejayaan Malaysia menganjurkan Sidang ASEAN. Namun di tanah air sendiri, ada pula yang memilih menghina beliau dengan cara jijik sebegini.
"Anda boleh tidak bersetuju, tetapi bukan dengan menghina — apatah lagi menyamakan pemimpin negara dengan simbol Zionis," katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, warganet mengecam penyebaran gambar tersebut yang turut dianggap mempersenda kaum dan agama.
Susulan itu, seorang kakitangan institusi perbankan, Siti Nurziswanis Mohd Zain, tampil memohon maaf atas tindakannya berkongsi gambar berkenaan.
Bagaimanapun, AMK Selangor menegaskan permohonan maaf itu tidak mencukupi dan menuntut pihak berkuasa menyiasat Siti Nurziswanis serta mengambil tindakan sewajarnya terhadap seorang lagi pengguna media sosial, Nasir Sabari, yang didakwa turut melakukan perbuatan sama.









Comments