
Angkatan Muda KEADILAN (AMK) yakin mampu menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 dengan kekuatan baharu.
Hal itu ditegaskan oleh Ketua AMK Malaysia, Adam Adli Abdul Halim dalam program Hard Talk : "Angkatan Muda KEADILAN Dan Jalan Ke Depan" yang disiarkan oleh Suara Keadilan, malam tadi.
Menurut beliau keadaan kucar kacir yang menjejaskan parti dalam pilihan raya negeri sebelum ini kerana impak Langkah Sheraton pada 2020 lalu.
Hal itu, katanya menyebabkan tanggapan anak muda amat dan para pengundi amat negatif terhadap politik dan perjuagan Pakatan Harapan (PH)
"Kita tarik ke 2018, saya ingat pilihan raya pertama diberi penekanan dan perhatian yang banyak kepada pergerakan kaum muda.
"Kemudian berlaku banyak episod politik dan kemuncaknya Langkah Sheraton pada 2020. PH diganti kepada PN dan hari ini baik kepada BN.
"Reaksi orang muda paling menarik. Satu masa dulu nak tahu orang muda punya pilihan, lihat trend semasa. Tetapi kali ini lebih kepada isu yang dibincangkan, lebih kepada tindakan orang muda tersebut.
"Lepas Langkah Sheraton ada anak muda gerakkan NGO, ada menjauhi politik, ada tubuh parti politik sendiri juga keluar PH diserap masuk ke parti lain.
"AMK tidak ketinggalan. Kalau kita tengok waktu itu paling getir. Ikut rekod ada 11,000 anggota (KEADILAN) keluar atau dipecat. Ini menjejaskan organisasi dan pembinaan semula amat mencabar," katanya.

Bagaimanapun, Adam tidak bersetuju dakwaan perjuangan parti merosot akibat krisis dalaman berkenaan. Katanya, perjuangan KEADILAN dan AMK tetap teguh biar pun terdapat anggota yang meninggalkan parti.
"Kita tengok bukan AMK tetapi keseluruhan KEADILAN itu, ke mana nak dibawa sehingga orang mengalihkan perhatian seolah olah pergerakan pemuda perlukan sesuatu yang baru.
"Sedangkan secara prinsipnya, kita tahu selama ini apa diperjuangkan, naratif perjuangan kekal di situ. Apabila anggota keluar orang alih (menarik) perhatian.
"Namun selepas kita lalui banyak tempoh, akhirnya KEADILAN ambil keputusan buat pemilihan dan kemudian ramai pimpinan baru timbul dan ambil alih posisi yang ditinggalkan," katanya.
Mengenai cabaran PRU 15 dengan 5 juta Undi 18 serta Undi 21 yang dijangka keluar mengundi pada kali ini, Adam berkata, anak muda perlu diyakinkan bahawa politik penting untuk menentukan masa hadapan mereka.
Katanya, politik yang sinonim dengan pengkhianatan dan rasuah sebagaimana persepsi umum ketika ini perlu diubah sepenuhnya.
"Waktu kita buat undi 18 dulu, kita tak ukur adakah pengundi umur 18 bersama progressive force dan adakah mereka berminat dengan politik demokrasi?
"Kita tak pernah ukur dan tak kaji. Hal ini macam kahwin dulu bercinta kemudian. Sekarang baru kita buat kerja nak menarik pengundi muda.
"Beri persepsi politik tidak kotor sebagaimana mereka bayangkan. Parti politik yang ada bukan sebagaimana digambarkan, korup
"Ada yang buat perbandingan semua parti sama sahaja. Tak kan nak samakan dengan Najib - Anwar, Rafizi - Zahid Hamidi. Nak samakan pemimpin Umno. Tak sama.
"Cara pembawaan, ideologi dan sebagainya jelas tidak sama," katanya.
Justeru, Adam optimis pengundi muda akan memilih KEADILAN dan Pakatan Harapan kerana penolakan mereka terhadap korupsi dan pemimpin yang mementingkan diri.
Faktor yang lebih menyebelahi KEADILAN, tegas beliau, ialah barisan kepimpinan selepas pemilihan lalu juga banyak terdiri daripada profesional muda dalam pelbagai bidang termasuk saf pimpinan AMK yang menampakkan KEADILAN lebih meyakinkan berbanding BN dan PN.
"Sekarang di peringkat KEADILAN, kita laksana peremajaan parti secara besar besaran. Bukan AMK sahaja tetapi komponen parti peremajaan itu jelas.
"Saya nampak untuk PRU 15 AMK dan KEADILAN jauh lebih bersedia. Yang kotor dikeluarkan, nak ke hadapan dengan progresif.
"Kita juga tak perlu terbantut dengan percanggahan ideologi. Dulu yang menjejaskan PH adalah Bersatu yang bercanggah dengan PH kerana dia parti berasaskan kaum.
"Hari ini kita dapat buka semula naratif yang betul dan kembalikan balik arah tuju yang jelas. Dari segi prinsip kita telah berjalan sebagaimana sepatutnya," kata Adam lagi.