AMK sanggah Hj Hadi: Pas hanya pandai retorik, gagal ketika berkuasa
- Suara Keadilan
- 4 hours ago
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Angkatan Muda KEADILAN (AMK) menyanggah kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung pandangannya mengenai “salah mengundi pemimpin” yang menyebabkan negara ini mengalami masalah.
Ketua penerangannya, Danish Hairudin (gambar) menolak pandangan Abdul Hadi yang meletak kesalahan tersebut kepada pengundi.
"AMK menolak keras kenyataan Abdul Hadi yang menyalahkan rakyat kononnya mengundi pemimpin yang membawa kerosakan kepada negara.
"Ini tuduhan angkuh, tidak berasas, dan memperlekeh pilihan rakyat dalam sistem demokrasi," tegasnya.
Abdul Hadi menerusi media sosialnya mengulangi penegasannya bahawa umat Islam kini dilanda masalah sekularisme yang teruk sehingga membawa kepada terangkatnya pemimpin yang gagal mentadbir mengikut sempadan agama.
Bagaimanapun Danish membidas Abdul Hadi dengan berkata "mengheret fahaman agama untuk menjustifikasi kegagalan politik adalah manipulasi yang sangat berbahaya,"
Beliau mengingatkan Ahli Parlimen Marang itu, daripada terus menghukum rakyat kononnya memilih pemimpin liberal, lebih baik beliau menilai kegagalan Pas sendiri ketika berkuasa, termasuk ketika menjadi kerajaan pusat dalam PN dahulu (2020 - 2022).
"Ketika itu ratusan ribu rakyat kehilangan kerja, harga barang melambung, dan bantuan tidak sampai kepada yang berhak.
"Realiti semasa kini pula menunjukkan Kerajaan MADANI pimpinan Anwar Ibrahim berjaya mengawal kadar inflasi negara kepada 1.2 peratus pada Mei lalu yang merupakan kadar paling rendah dalam 51 bulan.
"Kalau benar ekonomi kita tenat seperti digambarkan Abdul Hadi, mengapa kadar inflasi negara mencatat penurunan ketara?" soalnya.
Justeru, Danish mengajak semua rakyat Malaysia menolak budaya politik yang suka menyalahkan orang lain, mempergunakan agama, dan menabur kebencian untuk kepentingan laba politik golongan tertentu.