AMK Sabah perkasa perpaduan belia menerusi kejohanan futsal 2025
- Suara Keadilan
- Jul 25
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah terus mempromosi perpaduan belia di negeri itu menerusi penganjuran Kejohanan Piala Futsal Ketua AMK Sabah 2025.
Ketuanya, Zaidi Jatil dalam satu kenyataan berkata penganjuran acara itu berjaya menghimpunkan penyertaan luar biasa dari seluruh negeri Sabah sekaligus menyemarakkan lagi semangat kesukanan dalam kalangan belia.
"Kejohanan ini bukan sekadar acara sukan, ia juga adalah jambatan perpaduan yang menyatukan pelbagai kaum, agama dan budaya
"Ini juga platform mencungkil bakat dan mempersiapkan generasi pelapis yang berdaya saing," katanya dalam kenyataan.

Menurut Zaidi, kejohanan digerakkan oleh Kelab Rekreasi Khungpow Team selaku jawatankuasa pelaksana rasmi. Sebanyak 40 pasukan terdiri daripada 23 pasukan lelaki dan 17 pasukan wanita telah tampil menyertai kejohanan tersebut.
AMK Sabah jelasnya komited untuk terus menerajui program pembangunan belia yang inklusif, progresif dan berimpak tinggi di masa hadapan.
"Kami menyasarkan penganjuran Liga Pembangunan Futsal Kota Marudu untuk kategori Bawah 12, 14 dan 16 tahun sebagai kesinambungan program pembangunan sukan belia di peringkat akar umbi.
"AMK Sabah akan terus berdiri bersama anak muda, memimpin perubahan dan membina masa depan," katanya.
Menerusi kenyataan sama, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pasukan yang bertanding, para pengadil, sukarelawan, penaja serta semua pihak yang menjayakan kejohanan ini.
Comments