AMK Pulau Pinang tolak usaha cuba politikkan tragedi Zara Qairina
- Suara Keadilan

- Aug 13
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang menolak sebarang usaha untuk menjadikan tragedi melibatkan Allahyarhamah Zara Qairina sebagai bahan politik.
Menerusi satu kenyataan mereka menegaskan, tindakan menjadikan tragedi itu sebagai bahan berpolitik adakan tindakan jahat dan tidak bermoral.
"Nyawa manusia bukan bahan dagangan politik, kami menolak sekeras-kerasnya sebarang usaha untuk meraih keuntungan politik daripada tragedi ini.
"AMK Pulau Pinang berdiri teguh bersama keluarga mangsa serta rakyat Malaysia yang mendambakan keadilan," tegas mereka.
Zara Qairina, murid sekolah menengah agama berasrama di Sabah dipercayai terjatuh dari tingkat tiga dan ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama pada jam 4 pagi, 16 Julai lalu.
Allahyarhamah disahkan meninggal dunia keesokkannya selepas menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I di Kota Kinabalu.
Bagaimanapun, isu kematian pelajar tingkatan satu itu dilihat cuba dipolitikkan pihak tertentu demi meraih sokongan terutama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tidak lama lagi.
Sementara itu AMK Pulau Pinang dalam kenyataan sama menyatakan sokongan penuh terhadap kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail agar memberi sepenuh kepercayaan kepada polis siasatan secara menyeluruh, telus dan adil.
Mereka menegaskan, prinsip negara hukum perlu dipertahankan, di mana tiada sesiapa pun boleh terlepas daripada tindakan undang-undang sekiranya terbukti bersalah, tanpa mengira status atau kedudukan.
"AMK Pulau Pinang menegaskan bahawa Malaysia adalah sebuah negara hukum. Tiada sesiapa yang akan dilindungi daripada tindakan undang- undang sekiranya terbukti bersalah, tanpa mengira pangkat, darjat, atau kedudukan.
"Sebagai tanda solidariti, AMK Pulau Pinang turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarhamah Zara Qairina dan mahu keadilan ditegakkan," tambah kenyataan tersebut.









Comments