AMK Perlis mahu penjelasan adakah SK Chuping akan ditutup?



Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Perlis mahu pihak Kerajaan Persekutuan dan Kementerian Pendidikan memberi penjelasan mengenai status Sekolah Kebangsaan (SK) Chuping, Perlis.


Menurut Ketua Penerangan AMK Negeri Perlis, Natthavuth Seng, sekolah yang ditubuhkan pada tahun 1912 dengan usia 109 tahun itu mempunyai nilai sejarah dan merupakan sekolah tertua di Perlis yang tidak seharusnya ditutup.


Katanya, status sekolah tersebut menjadi tanda tanya baru-baru ini apabila murid-murid sekolah berkenaan didakwa akan dipindahkan sementara dan berkongsi dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Mata Ayer.


"AMK Perlis dimaklumkan tiada surat rasmi dari Kementerian Pendidikan Malaysia mengenai penutupan SK Chuping dan hanya terdapat surat dari Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis bertarikh 6 Mei 2019 yang menjemput Yang DiPertua Persatuan Ibubapa dan Guru SK Chuping untuk menyertai Mesyuarat Task Force Status Pengoperasian SK Chuping (Bil 3/2019) dan pada 8 Mei 2019 ketika mesyuarat berkenaan berlangsung, pihak YDP PIBG SK Chuping telah dimaklumkan bahawa sekolah berkenaan perlu dikosongkan.


"Jangan pandang enteng dan tidak peduli dengan penduduk di sini, mereka berhak mengetahui tindakan pihak berkuasa mengenai isu ini," kata Natthavuth dalam satu kenyataan.


Menurut beliau lagi, media Sinar Harian sebelum ini telah melaporkan pada 2019 bahawa “Pengarah Jabatan Pendidikan Perlis, Izmi Ismail berkata, Cawangan Senggara Fasiliti Bangunan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang membuat pemeriksaan dan mendapati sekolah itu selamat diduduki dan sesi persekolahan boleh diadakan seperti sediakala”.


Namun kemudian, dakwanya, sekolah berkenaan telah diarahkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Perlis untuk memindahkan barang-barang milik SK Chuping ke SMK Mata Ayer.


"AMK Perlis menuntut pihak Kementerian Pendidikan Malaysia mengeluarkan surat rasmi serta menyatakan alasan mengapa murid-murid sekolah berkenaan dipindahkan ke SMK Mata Ayer.


"AMK memandang serius mengenai isu penutupan SK Chuping ini kerana ia memberi kesan kepada pendidikan, tekanan jiwa dan keselamatan penduduk khususnya di kampung berhampiran.


"Jika faktor keselamatan menjadi isu utama, AMK Perlis menuntut jawapan daripada Kerajaan Negeri Perlis adakah rumah-rumah penduduk kampung serta masjid berhampiran sekolah juga akan turut dipindahkan?" tanyanya.


Tambah Natthavuth, AMK Perlis telah turun padang bertemu YDP PIBG SK Chuping serta penduduk-penduduk kampung bagi mendapatkan maklumbalas mengenai isu berkenaan.


Katanya, rata-rata mereka tidak bersetuju dengan cadangan penutupan SK Chuping kerana jarak dari kampung mereka ke SMK Mata Ayer sangat jauh serta turut merisaukan mereka adalah isu sosial yang akan berlaku antara murid sekolah rendah dengan murid sekolah menengah akibat daripada perkongsian kemudahan sekolah.


Pihak PIBG SK Chuping juga telah membuat punggutan suara dan seramai 104 orang ibu bapa membantah penutupan SK Chuping.


"Oleh itu, AMK Perlis menuntut dengan segera Kementerian Pendidikan Malaysia memberi perhatian dan memperjelaskan secepat mungkin isu ini memandangkan sesi persekolahan akan dibuka pada 4 Oktober 2021.


"AMK Perlis juga meminta jawapan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia di manakah lokasi baharu SK Chuping yang akan dibina seperti yang dijanjikan ataupun sekolah ini hanya akan tinggal nama sahaja serta menjadi “sejarah”," katanya lagi.

0 comments