AMK: Perhimpunan harus aman, tidak cetus provokasi
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat menyatakan pendirian menghormati hak mana-mana pihak untuk berhimpun selaras dengan prinsip demokrasi yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimanapun, sayap pemuda Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu mengingatkan bahawa setiap perhimpunan dianjurkan harus dilaksanakan secara aman dan tidak bertujuan mencetuskan sebarang bentuk provokasi, yang menyentuh atau menghina kepercayaan serta agama mana-mana kaum di Malaysia.
"Undang-undang negara menuntut setiap pihak menghormati peraturan serta proses perundangan yang berkuat kuasa," kata Ketuanya Muhammad Kamil Abdul Munim (gambar).
Beliau berkata begitu sebagai mengulas perhimpunan yang dirancang sekumpulan NGO di pekarangan Kompleks Sogo hari ini yang mahu penguatkuasaan undang-undang terhadap pencerobohan dan pembinaan rumah ibadat secara haram
Muhammad Kamil sementara itu menegaskan pandangan pihaknya bahawa semua rumah ibadat harus berlandaskan undang-undang terutama soal hak milik tanah yang sah sepertimana hak untuk beragama dijamin dalam perlembagaan
Pendirian itu jelasnya tidak bersandarkan sentimen perkauman mahupun keagamaan sebaliknya berpaksikan prinsip Rukun Negara khususnya kedaulatan undang-undang.
"AMK menaruh keyakinan penuh terhadap jaminan pihak berkuasa untuk menangani isu tersebut secara berhemah dan menurut prinsip rule of law, tanpa tindakan tergesa-gesa yang boleh menjejaskan keharmonian antara kaum serta kestabilan masyarakat majmuk negara," ujarnya seperti dilapor media.









Comments