AMK perbanyak latihan, diskusi, isi kemenangan sebagai parti kerajaan
- Suara Keadilan
- 29 minutes ago
- 2 min read

Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang berada dalam parti pemerintah perlu lebih proaktif dalam mengisi harapan rakyat.
Ketua AMK Pusat, Adam Adli Abdul Halim berkata, jumlah keanggotaan AMK yang telah mencecah 200,000 orang seharusnya dimantapkan dengan pelbagai latihan bagi menjamin kualiti ahli untuk membina pimpinan masa hadapan.
"Jangan dipersiakan jumlah keanggotaan, latih semula, anjur diskusi, terangkan sejarah parti. Itu tanggungjawab buat semua di peringkat negeri dan pusat.
"Ada yang anjur bengkel, latihan, ada anjur kunjungan, saya ucap terima kasih (kepada mereka)," katanya dalam ucapan dasar Ketua AMK Pusat di Berjaya Waterfront Hotel, Johor Bahru pagi ini.
Adam mengimbau sejarah pada 2020, yang mana AMK menghadapi cabaran getir hampir memusnahkan sayap pemuda itu melewati pengkhianatan para pemimpinnya.
Dari kegetiran itu, katanya, AMK telah dibangunkan semula dan seharusnya lebih gemilang pada masa akan datang.
Selain itu, beliau juga menekankan perlunya sikap assabiyah sebagaimana ucapan dasar beliau sebelum ini.
Katanya, assabiyah bukan membawa maksut perkauman sempit tetapi disatukan dengan hikmah membawa nilai perpaduan, kesatuan yang utuh seperti diungkapkan oleh ilmuan pengkaji ketamadunan, Ibnu khaldun.
Dalam pada itu, Adam turut menegur pemimpin yang memberi alasan kekangan kewangan sehingga mereka kurang aktif dalam gerak kerja dan usaha menyatukan AMK.
Katanya generasi terdahulu lebih sukar bergerak kerana berjuang dalam ketiadaan dana dan ditekan pemerintah.
"Tidak ada sejarah (seseorang) masuk dalam KEADILAN hidup senang, hatta yang ada jawatan sekali pun (tidak senang). Berpuluh tahun kita bergerak dalam derita, hari ini kita sedikit berkemampuan.
"Yang lebih dahulu dari kita tak merasa pun (kemudahan berjuang). Kita ini sentiasa terhutang budi dengan pengorbanan generasi dahulu," katanya.
Bagi yang ingin kesenangan pula, Adam memberi amaran, tiada siapa yang mewah berjuang bersama KEADILAN.
Apa yang ada, katanya, adalah peluang untuk berbakti kepada rakyat dan dalam konteks semasa adalah mengisi kemenangan sebagai parti kerajaan.
"Kerja hakiki kita nak menang pilihanraya, sebagai parti pemerintah bersaing untuk menang pilihanraya.
"Oleh itu kita mesti mengisi kemenangan dalam membangun negara dan warga. Capai kemenangan jauh lebih mudah dari mengisi kemenangan," katanya lagi.