AMK Perak rakam rasa simpati mangsa kebakaran Kampung Bahagia
- Redzuan Shamsudin

- 1 hour ago
- 1 min read

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Perak merakamkan rasa pilu dan simpati terhadap mangsa kebakaran besar yang memusnahkan Kampung Bahagia di Sandakan, Sabah, awal pagi tadi.
Ketua AMK Perak, Ashraf Kahasani berkata, tragedi tersebut memberi kesan besar kepada penduduk apabila lebih 1,000 rumah dilaporkan musnah dan kira-kira 9,007 penduduk terjejas.
"AMK Perak merakamkan rasa pilu dan simpati yang mendalam kepada semua mangsa yang terjejas dalam kejadian kebakaran yang memusnahkan Kampung Bahagia, Sandakan Sabah," katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, hampir 90 peratus kediaman di perkampungan itu musnah dalam kebakaran berkenaan, yang merupakan kejadian kali ketiga direkodkan selepas insiden pada tahun 1994 dan 2001.
Dalam pada itu, beliau turut menghargai tindakan pantas pasukan bomba serta semua pihak yang terlibat dalam usaha mengawal kebakaran dan menyelamatkan mangsa.
"AMK Perak menghargai tindakan pantas anggota bomba dan semua pihak yang terlibat dalam mengawal api dan menyelamatkan keadaan," ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berharap bantuan segera dapat disalurkan kepada mangsa susulan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menggesa penyelarasan bantuan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah.
"Diharap dengan pengumuman yang dibuat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri pagi tadi mengarahkan penyelarasan segera bantuan Kerajaan Persekutuan bersama Kerajaan Negeri Sabah kepada penduduk yang terjejas dapat disalurkan kepada mereka yang memerlukan dalam masa sukar ini. Keutamaan kini adalah keselamatan mangsa dan penempatan segera," katanya.
Beliau turut mendoakan agar semua mangsa diberikan kekuatan menghadapi ujian tersebut serta dipermudahkan urusan untuk bangkit semula selepas kehilangan tempat tinggal.




Comments