AMK Perak edar 700 pek makanan kepada mangsa banjir
- Suara Keadilan

- 2 days ago
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Perak pada Jumaat mengedarkan sebanyak 700 pek makanan kepada mangsa banjir kilat di sekitar Bukit Gantang dan Taiping.
Agihan bantuan diketuai Timbalan Ketua AMK Perak, Aslam Johari, dengan kerjasama Cabang KEADILAN Bukit Gantang dan Taiping, disertai 25 sukarelawan termasuk EXCO AMK Malaysia, Zaim Sidqi Zulkifly.
Menurut kenyataan AMK Perak, inisiatif tersebut merupakan hasil Mesyuarat Khas Penyelarasan Banjir AMK Perak bagi memastikan bantuan segera disalurkan secara berperingkat kepada semua mangsa terjejas.
"Tindakan ini mencerminkan keprihatinan AMK Perak dalam membantu masyarakat yang berdepan bencana serta komitmen memastikan tiada keluarga terpinggir daripada menerima bantuan ketika saat genting," jelas kenyataan itu.
Antara lokasi utama agihan termasuk Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SK Temerlok, PPS ADTEC Taiping, serta kepada mangsa yang berlindung di Masjid Nurul Hidayah, Kampung Sungai Bemban Kuala Terong.
Taburan hujan berintensiti tinggi dan berterusan selain pertembungan fenomena air pasang dikenal pasti sebagai punca utama banjir kilat yang berlaku.
Setakat jam 2 petang semalam, 3,033 mangsa daripada 1,036 keluarga di seluruh Perak masih ditempatkan di 27 PPS sejak banjir melanda pada Khamis.









Comments