AMK, NGO, tolak pencalonan Nick Adams sebagai Duta Besar AS ke M'sia
- Suara Keadilan

- Jul 17
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Gabungan sayap pemuda parti politik, organisasi masyarakat sivil, dan kumpulan mahasiswa dari seluruh negara hari ini dengan tegas menggesa kerajaan menolak pencalonan Nick Adams sebagai Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia yang baharu.
Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat, Danish Hairudin menegaskan, Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat mempunyai hak untuk menilai, menolak atau menerima pencalonan diplomat asing selaras dengan Perkara 4(1) Konvensyen Vienna.
''Ini bermakna, walaupun pihak AS telah mencalonkan Nick Adams sebagai duta mereka, tetapi kerajaan boleh menilai, mempertimbangkan, menerima atau pun menolak (pencalonan itu).
''Kenyataan kita pada hari ini adalah untuk meminta pihak kerajaan agar menolak pencalonan Nick Adams berdasarkan fasal yang telah saya sebutkan tadi,'' katanya pada sidang media berkaitan isu tersebut yang diadakan di sebuah restoran di Bangsar hari ini.
Dalam sidang media sama, Danish berkata, terdapat tiga tuntutan utama yang dikemukakan pihak mereka berhubung isu pencalonan Nick Adams sebagai Duta Besar ke negara ini.

''Pertama, kami menggesa pencalonan Nick Adams sebagai Duta Besar AS ke Malaysia ditarik balik.
''Kedua, kerajaan AS diminta untuk mempertimbangkan semula dan mencalonkan individu yang lebih sederhana sesuai dengan demografi dan geografi masyarakat di negara ini.
''Ketiga, memastikan wakil diplomatik yang dilantik mampu mengekalkan hubungan dua hala dalam landskap nasional,'' ujar beliau lagi.
Sebagai bantahan terhadap pencalonan itu, Danish yang juga Timbalan Ketua Cabang KEADILAN Kota Raja memaklumkan, satu 'Flash Mob' akan diadakan pada jam 10 malam ini bertempat di hadapan Restoran Mcdonald's Bukit Bintang.
Sementara itu, himpunan aman turut dijadual berlangsung esok pada jam 2 petang di hadapan Kedutaan AS.









Comments