AMK mahu Peguam Negara siasat kematian dalam tahanan polis A Ganapathy

Updated: May 1


Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia tidak boleh menerima begitu sahaja berita kematian A. Ganapathy yang ditahan reman tanpa pihak polis memberi penjelasan yang munasabah.


Menurut kenyataan dikeluarkan oleh Ketua AMK Malaysia Akmal Nasir, Naib Ketua AMK Malaysia Thiban Subramaniam dan Exco Biro Guaman dan Undang-Undang AMK Adrian Kumar Vendargon, kematian mendiang Ganapathy seharusnya disiasat oleh Jabatan Peguam Negara serapi yang mungkin untuk menentukan punca sebenar kematian beliau.


"AMK Malaysia menyokong sepenuhnya seruan NGO Eliminating Deaths in Custody Together (EDICT) yang mahu Jabatan Peguam Negara memulakan siasatan terhadap kematian Ganapathy, selaras dengan kuasa-kuasa Peguam Negara di bawah Seksyen 339 Kanun Tatacara Jenayah.


"Ini akan membantu menentukan punca utama kematian mendiang serta mengenalpasti pemangsa yang terlibat dalam jenayah dahsyat itu dan mengheret mereka ke muka pengadilan," kata mereka dalam satu kenyataan.


Menurut mereka lagi, AMK Malaysia mengecam sekeras-kerasnya kezaliman tidak berperikemanusiaan tersebut yang telah mengakibatkan kehilangan nyawa secara tragis.


Biarpun tidak menyangkut isu perkauman, namun kata mereka, kematian dalam tahanan polis di Malaysia seolah-olah menggambarkan diskriminasi terarah kepada golongan lelaki berbangsa India.


"Satu kajian Suara Rakyat Malaysia (Suaram) menganggarkan hampir 55% mangsa kematian dalam tahanan polis di Malaysia adalah warganegara berbangsa India. Ini suatu statistik yang mengejutkan, memandangkan etnik India cuma merangkumi sekitar 7% dari jumlah keseluruhan penduduk Malaysia.


"Statistik rasmi Kementerian Dalam Negeri pula mendapati bahawa sekitar 23.4% kes sebegini melibatkan mangsa berbangsa India.


"Malangnya, kematian Ganapathy ini hanyalah insiden terkini, memandangkan terdapat banyak kes kematian dalam tahanan polis sebelum ini, termasuk antara lain kes A Kugan (2009) dan N Dharmendran (2013) dan sebagainya," kata mereka lagi.


Bagi mereka, Ganapathy yang di bawah jagaan polis dan dalam keadaan sihat ketika dibawa untuk soal siasat seharusnya berada dalam keadaan sihat selepas dibebaskan.


"Mendiang ditahan polis dari 24 Februari 2021 hingga 8 Mac 2021, di bawah suatu perintah reman 13 hari oleh mahkamah bagi membantu siasatan berkenaan jenayah yang kononnya dilakukan oleh abang beliau. Namun pada 7 Mac 2021, Ganapathy didapati tidak terlibat dalam sebarang salah laku.


"Pada 8 Mac 2021, mendiang yang sememangnya menghidapi penyakit kencing manis dan penyakit jantung telah dikejarkan ke Unit Rawatan Intensif (ICU) Hospital Selayang dalam keadaan kritikal, dengan kaki beliau lebam dan berdarah.


"Bagaimanapun, ibu Ganapathy, S. Thanaletchumy, menyatakan dalam wawancara baru-baru ini mendakwa mendiang anaknya telah dipukul dengan hos getah dan diheret di atas jalan berturap semasa berkaki ayam," kata mereka lagi.


Sehubungan itu, AMK Malaysia mengulangi seruan supaya Kerajaan Perikatan Nasional (PN) membenarkan Parlimen bersidang semula agar Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang digubal oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini dapat dibentangkan semula, dibahaskan dan diluluskan oleh Ahli-Ahli Parlimen merentasi lantai Dewan Rakyat.


0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
19198
292
20980
Total
1,979,698
20,711
1,721,710

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
349,788
5,246
372,363
Total
225,423,690
4,643,538
200,274,221

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER