top of page

Ugut bakar rumah PM di media sosial: AMK lapor polis

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Sep 8
  • 2 min read

Updated: Sep 9


Bariqul Zaman (tiga dari kanan) bersama Khairul Naim (kanan) membuat laporan polis di IPD Shah Alam
Bariqul Zaman (tiga dari kanan) bersama Khairul Naim (kanan) membuat laporan polis di IPD Shah Alam

Oleh: Akmal Manaf


Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia hari ini membuat satu laporan polis berhubung satu komen berbaur ugutan yang tular di media sosial, termasuk TikTok dan Facebook, yang menyebut "Rumah PMX ini pun tunggu masa sahaja untuk dibakar".


Ketua Biro Mobilisasi AMK Pusat, Bariqul Zaman menyifatkan, ugutan tersebut merupakan satu bentuk ancaman keselamatan kepada Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Katanya, walaupun ugutan itu dibuat kepada orang awam di platform media sosial, namun ia tetap satu bentuk ugutan untuk membakar rumah, dan ia merupakan perkara serius.


''Sebagai rakyat Malaysia, kami harap kalau anda mahu komen atau memberi pandangan berkenaan kerajaan, sila beri pandangan dengan budi bicara.


''Ini kerana kita rakyat Malaysia sangat bersopan santun.. itu adalah tonggak perpaduan kita,'' katanya dalam sidang media selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, hari ini.


Hadir sama, Ketua Biro Guaman dan Aduan Awam AMK Pusat, Khairul Naim Rafidi dan Timbalan Ketua AMK Selangor, Shahrul Adnan.


Dalam pada itu, Khairul berkata, pihaknya percaya bahawa tindakan individu berkenaan jelas jatuh di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu satu tindakan yang mengugut secara jenayah.


''Jika didapati bersalah, boleh dihukum penjara selama tempoh 2 tahun atau denda. Namun kalau kita lihat secara teliti, kalau ada satu ugutan seperti disebut (memusnahkan harta), hukuman maksimum boleh capai sehingga 7 tahun kalau ikut kesalahan dilakukan.


''Kedua, kami percaya bahawa terdapat penggunaan media secara tidak wajar dan ia merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.


''Tujuan kami buat laporan polis hari ini adalah untuk menggesa dan memohon agar pihak penguatkuasa melaksanakan siasatan dan tindakan tegas terhadap tindakan individu tersebut.


''Ini kerana ia penting untuk mendidik masyarakat atas nama kepentingan awam bahawa dalam kita berpolitik atau berkomunikasi, perlu menjaga adab dan tatasusila demi memastikan perpaduan dan kemaslahatan negara ini berjalan dengan baik,'' katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page