
Rampasan buku daripada Toko Buku Rakyat di Wisma Central Jumaat lalu oleh penguatkuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN) boleh disalah ertikan sebagai menghalang kebebasan berkarya.
Hal itu dinyatakan oleh Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Tyra Hanim Razali dalam kenyataan hari ini.
Menurut Tyra, rampasan bahan bacaan ilmiah yang tidak terdapat dalam Senarai Perintah Larangan dipersoalkan oleh pengkarya seni serta rakyat yang meminati kesusasteraan.
"AMK memandang berat rampasan oleh anggota-anggota KDN dan menyifatkan rampasan ini merupakan suatu intimidasi terhadap penerbit buku alternatif dan kecil kecilan di Malaysia.
"Rampasan ini juga memberi isyarat tidak sihat kepada masyarakat umum dan memberi peluang kepada pihak lawan dalam naratifnya yang menggambarkan bahawa Kerajaan Perpaduan adalah sebuah kerajaan autoritarian," katanya.
Tyra dalam pada itu berpendapat rampasan buku ilmiah tanpa alasan munasabah akan menggugat perkembangan pemikiran Masyarakat Madani
Malah, katanya masih ada perkara baik yang boleh dipelajari dalam karya kontroversi seperti Marx Sang Pendidik Revolusioner atau Puisi Masturbasi yang mengajak dan membudayakan buah fikiran yang bertentangan dengan norma norma masyarakat yang dahulunya dilihat luhur, tetapi kini ditunggang sebahagian golongan masyarakat.
Bagi beliau, buku yang dirampas itu sekiranya dikatakan subversif, namun judul seperti Mein Kampf tulisan Adolf Hitler yang mempromosikan ideologi politik Nazisme boleh dijual di banyak toko-toko buku seluruh Malaysia tanpa sebarang sekatan.
Oleh itu, katanya, rampasan ini hanya akan memperlihatkan ‘double standard’ terhadap perbahasan idea dalam kalangan masyarakat. Selayaknya, kata beliau, konsep pertentangan idea perlu dimaknai dalam gagasan Malaysia Madani
Sekatan tanpa alasan, bagi beliau hanya akan mengurangkan dokongan para ilmuan dan aktivis intelektual dalam memacu visi membina Malaysia lebih bertamadun.