top of page

AMK Kelantan mahu kerajaan negeri kaji punca bunuh diri

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
Feb 11, 2024
2 min read


Oleh: Abdullah Zaid


Langkah kerajaan Kelantan mengadakan solat hajat di atas Jambatan Tendong, Pasir Mas bagi mengurangkan kes bunuh diri di kawasan berkenaan mengundang pelbagai persoalan orang ramai.


Bagi pemimpin Biro Pendidikan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Kelantan, Mohamad Shafiq Sahruddin, beliau berpendapat Kerajaan Negeri seharusnya hadir dengan solusi lebih berkesan bagi mengelakkan kejadian bunuh diri dan bukan setakat solat hajat.


"Saya berpandangan selain mengadakan solat hajat di atas jambatan itu, lebih baik Pas meneliti punca mengapa bunuh diri kerap berlaku di negeri ini.


"Kerana pendekatan kerohanian (spiritual) tanpa seiring dengan bantuan dan khidmat psikologi dibimbangi akan mengundang pelbagai masalah lain," katanya kepada Suara Keadilan.

Mohamad Shafiq Sahruddin

Jelas Shafiq, dasar Kerajaan Negeri yang kurang menitik beratkan pembangunan ekonomi juga memainkan peranan kepada masalah kemiskinan dan jenayah yang semakin meningkat dan mungkin juga salah satu punca meningkatnya stres di jiwa rakyat.


"Isu pengangguran antara faktor utama yang menjurus rakyat Kelantan terutama anak muda hidup dalam kesempitan dan terdedah kepada jenayah sosial.


"Dari sudut itu, masalah pengangguran ini juga menjadi penyumbang kepada tekanan hidup yang dihadapi oleh masyarakat Kelantan. Sebab itu, misi membasmi kemiskinan adalah sebahagian daripada tuntutan agama," ujarnya lagi.


Justeru, Mohamad Shafiq menyeru Kerajaan Negeri mencari ikhtiar yang memberikan solusi kepada punca berlakunya bunuh diri di negeri Serambi Mekah itu.


"Kerajaan negeri sepatutnya perlu berperanan dan agresif dalam mencari solusi dan bukan hanya meletakkan dari satu sudut sahaja," ujarnya lagi.


Baru baru ini, Kerajaan Kelantan mengadakan solat hajat di atas Jambatan Tendong, selepas lokasi itu menjadi tempat individu terjun untuk membunuh diri.


Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, berkata solat hajat itu dibuat sebagai salah satu usaha dan doa untuk mengelak kejadian terjun ke Sungai Kelantan berulang pada masa akan datang.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page