top of page

AMK kecam dakwaan penghinaan terhadap Nurul Izzah

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 16 hours ago
  • 2 min read

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia mengecam tindakan Ketua Penerangan Puteri Umno di platform Threads yang didakwa melabel Timbalan Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar dengan gelaran berunsur fitnah dan penghinaan dalam satu hantaran media sosial.


Exco AMK Malaysia, Atillah Sani (gambar) berkata meskipun berbeza politik namun hal itu tidak seharusnya dijadikan alasan untuk melemparkan tuduhan keji yang bersifat fitnah.


"Perbezaan politik bukan lesen untuk sesiapa sahaja melemparkan tuduhan keji, apatah lagi menggunakan isu peribadi dan seksual sebagai senjata politik.


"Ini bukan lagi soal siapa menyokong parti mana tetapi soal maruah, adab dan tanggungjawab dalam berpolitik," katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau berkata, tindakan individu yang memegang jawatan dalam sayap politik parti sepatutnya mencerminkan kematangan dan disiplin dalam berkomunikasi, bukannya mengheret politik negara kepada serangan peribadi.


Tegas Atillah, AMK melihat tindakan sedemikian sebagai contoh buruk budaya politik yang cuba dianggap normal apabila lawan politik dianggap boleh dihina.


"AMK melihat tindakan sebegini sebagai satu contoh buruk budaya politik yang cuba dinormalisasikan, seolah-olah apabila seseorang itu lawan politik, maka maruahnya boleh dipijak sesuka hati," katanya.


Sehubungan itu, beliau berkata AMK Malaysia akan membuat laporan polis berhubung hantaran berkenaan dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan serta mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan undang-undang yang berkuat kuasa.


"AMK tidak akan berdiam diri apabila maruah seseorang dijadikan bahan permainan politik. Kita boleh berbeza pandangan. Kita boleh bertikam lidah soal dasar. Tetapi jangan sampai hilang akal dan hilang maruah," katanya lagi.


Terdahulu, Ketua Penerangan Puteri Umno Malaysia, didakwa mencetuskan kontroversi selepas satu hantaran Threads miliknya yang mengaitkan Nurul Izzah dengan tohmahan seksual.


Meskipun kemudian beliau memohon maaf namun hal itu dianggap hal serius terutama mencemarkan imej Timbalan Presiden parti utama dalam gabungan Kerajaan Perpaduan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page