AMK Johor sokong penuh penyelarasan subsidi petrol RON95
- Suara Keadilan
- Sep 23
- 1 min read

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Johor menyatakan sokongan penuh terhadap langkah Kerajaan Madani melaksanakan penyelarasan subsidi petrol RON95 yang disifatkan sebagai langkah progresif untuk memastikan kewangan negara diurus dengan lebih cekap dan adil.
Ketua AMK Johor, Faezuddin Puad, dalam kenyataan berkata penyasaran subsidi itu penting bagi memastikan warganegara asing tidak lagi boleh membeli petrol dengan harga subsidi sebagaimana pemberian subsidi pukal yang dilakukan sekarang.
"Penyelarasan subsidi ini penting bagi mengurangkan ketirisan yang selama ini banyak dinikmati oleh warga asing.

"Dengan beralih kepada sistem subsidi bersasar, kewangan kerajaan yang dijimatkan dapat disalurkan semula kepada program-program kebajikan dan pembangunan yang lebih memerlukan, seperti bantuan tunai langsung, menaiktaraf sistem pengangkutan awam, fasiliti kesihatan dan pendidikan negara," katanya.
Bagaimanapun beliau dalam masa sama menyarankan supaya kuota 300 liter subsidi bersasar yang diperuntukkan kepada setiap warganegara dikaji secara berkala.
"AMK Johor menyarankan supaya kuota 300 liter subsidi bersasar bagi setiap warganegara dikaji secara berkala bagi memastikan ia relevan dengan keperluan semasa.
"Ini termasuk mengambil kira faktor seperti inflasi dan kos sara hidup yang meningkat. Kajian ini penting supaya sistem subsidi bersasar tidak membebankan golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang bergantung kepada kenderaan untuk bekerja," tegasnya.
Faezuddin yakin penyelarasan subsidi petrol RON95 ini akan memberi kesan positif kepada ekonomi negara dalam jangka panjang.
"Kerajaan Madani telah membuktikan komitmen menguruskan kewangan negara dengan telus dan berhemat demi kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia," katanya lagi.
Polisi subsidi petrol BUDI95 untuk seluruh rakyat Malaysia akan bermula pada 30 September ini. Setiap rakyat berumur 16 tahun ke atas mendapat kuota subsidi penggunaan petrol 300 liter sebulan dengan syarat mempunyai lesen memandu yang sah. Subsidi boleh diperolehi di stesen minyak dengan menggunakan kad pengenalan.
Comments