AMK Johor, pemuda AMANAH pertikai naratif Dr Akmal Salleh
- Suara Keadilan

- 3 days ago
- 1 min read
Updated: 2 days ago

Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Johor, Faezuddin Puad (gambar) mempersoalkan dakwaan Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Salleh kononnya agama Islam dan bangsa Melayu tertekan di negara ini.
Menerusi satu kenyataan, Faezuddin menggesa Akmal menjelaskan secara terperinci dakwaan tersebut.
"Akmal Salleh dalam satu konvensyen khas menyatakan agama dan bangsa kita sedang diinjak. Persoalannya, bila dan di mana kejadian itu berlaku?
"Presiden parti kamu sendiri adalah Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Cuba tanya beliau," kata Ketua Cabang KEADILAN Pulai itu.
Dr Akmal menerusi Konvensyen Khas Pemuda UMNO di Kuala Lumpur semalam secara terbuka menggesa UMNO menarik sokongan daripada Kerajaan MADANI susulan rasa tidak puas hati terhadap isu Titah Adendum melibatkan bekas Presiden UMNO, Najib Razak sebelum ini.
Beliau turut menyeru kepimpinan tertinggi UMNO agar menerima Pas sebagai sekutu baharu.
Ketua Pemuda AMANAH, Hasbie Muda turut memberi respon terhadap seruan tersebut dengan menyifatkan ia sebagai satu saranan yang pelik.
Ia berikutan kedudukan pemimpin UMNO dalam Kerajaan Perpaduan sendiri yang diberi banyak portfolio dan kementerian strategik bagi memperkasa kedudukan orang Melayu-Islam.
"Desakan supaya UMNO meninggalkan Kerajaan Perpaduan mungkin datang daripada ‘kumpulan tertentu’.
"Namun saya yakin kepimpinan UMNO akan membuat keputusan yang matang dan terbaik berhubung isu ini," katanya.









Comments