top of page

AMK Gombak tuntut penjelasan status laporan polis terhadap Azmin Ali

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 4 minutes ago
  • 2 min read
ree

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Gombak menuntut penjelasan rasmi daripada Kementerian Dalam Negeri berhubung status laporan polis terhadap Datuk Seri Azmin Ali yang dibuat pada 12 Jun 2019 oleh Ketua Penerangan Bahagian Bersatu Hulu Langat, Mohamad Shafiq Abdul Halim terkait isu video intim tular di Sandakan serta pengakuan terbuka oleh Haziq Aziz, salah satu individu dalam video berkenaan.


Ketua AMK Gombak, Haris Harahap (gambar) berkata, laporan yang dibuat oleh Mohamad Shafiq Abdul Halim di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi merupakan laporan pertama selepas video berkenaan tersebar.


"Laporan tersebut direkodkan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, dan turut menggesa agar siasatan dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta dirujuk kepada Jabatan Agama Islam.


"AMK Gombak kini mempertikaikan sama ada laporan tersebut telah ditarik balik selepas Mohamad Shafiq menyertai Bersatu, dan sekiranya benar, apakah implikasi terhadap siasatan yang telah atau sedang dijalankan?


"Perkara ini menjadi lebih penting memandangkan beliau kini memegang jawatan penting dalam parti Bersatu," katanya dalam satu kenyataan.


Haris turut merujuk kenyataan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan kelmarin yang mendakwa menerima maklumat bahawa video tersebut adalah tulen dan individu terlibat didakwa Azmin Ali.


"AMK Gombak menuntut agar maklumat ini disahkan oleh pihak berwajib, khususnya berdasarkan laporan polis asal yang telah dibuat," tegasnya.


Sehubungan itu, AMK Gombak menuntut tiga perkara, iaitu mendesak Mohamad Shafiq memberikan penjelasan terbuka sama ada laporan polis beliau telah ditarik balik; memohon penjelasan rasmi daripada Menteri Dalam Negeri berhubung status laporan tersebut serta siasatan terkini PDRM; dan menegaskan integriti serta keadilan mesti dipelihara tanpa pengaruh politik atau tekanan mana-mana pihak.


"Isu ini menyentuh keyakinan rakyat terhadap prinsip undang-undang dan keadilan.


"Justeru itu, tiada siapa yang boleh berada di atas undang-undang, dan siasatan yang telus serta bebas mesti dijamin," kata Haris lagi.


Isu berkaitan video intim Azmin di Sandakan kembali hangat selepas lima tahun apabila Wan Saiful kelmarin mendakwa beliau diberitahu bahawa rakaman tersebut adalah tulen dan mempertikaikan kewibawaan Azmin sebagai pimpinan tinggi parti Bersatu.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page