AMK gesa Timbalan Menteri Komunikasi letak jawatan



Angkatan Muda KEADILAN (AMK) menggesa Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Zahidi Zainul Abidin berhubung kenyataan terhadap pelajar Veveonah Mosibin.


Pengarah Komunikasi AMK Sarawak, Mohd Arwin Lim Abdullah menganggap kenyataan Zahidi telah membawa aib terhadap Veveonah seolah-olah pelajar itu merupakan seorang yang tidak jujur dan hanya ingin mencari populariti murahan.


"Timbalan Menteri dalam akaun media sosialnya telah mengakui bahawa kenyataan beliau di dalam Dewan Negara pada hari ini berkenaan saudari Veveonah Mosibin adalah tidak tepat.


"Jelas, tindakan Timbalan Menteri sangat tidak bertanggungjawab dan boleh dianggap sebagai menghina Dewan Negara kerana mengeluarkan kenyataan yang tidak tepat dan mengelirukan dewan serta rakyat Malaysia," katanya dalam kenyataan.


Arwin juga menempelak sikap Zahidi yang dianggap begitu angkuh sehingga mempersenda kesusahan dan cabaran yang dialami anak muda dari kawasan luar bandar.


Katanya, cabaran-cabaran tersebut adalah hasil daripada kegagalan serta kecuaian pihak kerajaan dalam membekalkan kemudahan infrastruktur yang asas kepada penduduk luar bandar.


"AMK Sarawak juga berasa sangat kesal kerana daripada cuba untuk memahami dan seterusnya menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh anak muda dan penduduk di kawasan luar bandar, Timbalan Menteri telah memilih untuk mengeluarkan tohmahan palsu terhadap mereka bagi menyembunyikan dirinya daripada dipertanggungjawabkan sama ada beliau telah gagal dan cuai dalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai anggota pentadbiran kerajaan.


"Oleh demikian, AMK Sarawak berpendapat bahawa Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia harus meletak jawatan dan meminta maaf khususnya kepada Veveonah Mosibin dan anak muda serta penduduk di kawasan luar bandar di Sabah dan Sarawak.


"Kami juga mendesak supaya Kementerian Komunikasi dan Multimedia fokus dalam menyelesaikan isu rakyat dan bukannya sibuk mencari helah untuk menutup kelemahan mereka sendiri," katanya.

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio