AMK cabar Pemuda Pas dialog isu Qazaf Anwar
- Suara Keadilan
- Jan 18
- 1 min read

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia diwakili Ketua Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BIPPA), Ustaz Ashraf Hadi mencabar Pemuda Pas untuk hadir dalam sesi dialog berkenaan isu Qazaf, iaitu menuduh seseorang baik melakukan perbuatan keji tanpa mengemukakan empat saksi.
Menurut Ustaz Ashraf, kenyataan Pengarah Komunikasi Strategik Dewan Pemuda Pas, Nazrul Nazir yang mempertikaikan kenyataan beliau sebelum ini membela Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ditohmah ADUN Melor dengan membangkitkan semula kes liwat seolah olah tidak berasaskan fakta, perlu diperbetulkan.
"Selepas membaca kenyataan media @DPPMalaysia, jelas bahawa mereka belum memahami dengan tepat kenyataan media
@AMKMalaysia.
"Oleh itu, saya dengan penuh rasa tanggungjawab menjemput Sdr. @nazrulnazir untuk berdialog secara terbuka bersama saya mengenai isu Qazaf ini," katanya di X.
Dalam kenyataan Nazrul di muatnaik Facebook Pemuda Pas, beliau menyatakan dakwaan ADUN Melor adalah berasaskan fakta bahawa PM Anwar telah diputuskan bersalah oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.
Bagaimanapun, Nazrul didakwa membelakangkan fakta bahawa kes tersebut berlaku sewaktu Pas masih bertahaluf siyasi bersama KEADILAN dan Presiden Pas ketika itu Hj Hadi Awang mengeluarkan pelbagai pendapat membela Anwar termasuk isu Qazaf, apabila penuduh Saiful Bukhari Azlan tidak mengemukakan empat saksi menuduh berlakunya jenayah seksual ke atas beliau berdasarkan hukum Islam.
Malah perbicaraan di mahkamah sivil pada waktu itu juga dipertikaikan para pemimpin Pas dari segi pembuktian, keterangan dan saksi relevan yang dipanggil.
Di atas kekeliruan tersebut maka AMK meminta diadakan dialog bersama Pemuda Pas dalam tempoh terdekat bagi merungkai kekusutan dalam isu Qazaf.
Comments