AMK buat laporan polis susulan hantaran 'mahu bunuh PM'


Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor membuat laporan polis berhubung ugutan bunuh yang dibuat seorang individu terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Setiausaha Kerja AMK Selangor, Muhammad Afif Abdullah berkata, hantaran berunsur ugutan menerusi media sosial terutamanya ugutan bunuh seperti itu seharusnya tidak berlaku.
Ia secara jelas telah mencerminkan ketidakmatangan dalam berpolitik.
"Jelas sekali apa yang berlaku ini menunjukkan tahap ketaksuban yang tinggi individu berkenaan sehingga sanggup memuat naik kata-kata sedemikian.
"Seharusnya sebagai individu yang waras, dia harus faham, pilihan raya negeri (PRN) yang dijalankan melibatkan negeri-negeri terlibat dan bukannya persekutuan, sekali gus apa yang dilontarkan ini mencerminkan sikap tidak matang individu berkenaan," katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, malam tadi.
Pada Isnin, tular tangkap layar berkaitan satu ugutan bunuh terhadap Perdana Menteri dipercayai berkaitan PRN baru-baru ini.
Individu terbabit dipercayai memuat naik hantaran berkenaan menerusi halaman Facebook sebelum ia ditangkap layar oleh netizen dan kemudiannya menjadi tular di media sosial.
Sementara itu, tegas Muhammad Afif, seharusnya suasana selepas PRN perlu dalam keadaan harmoni dan penumpuan usaha ke arah pembinaan negara.
"PRN sudah pun berlalu dan tumpuan seharusnya perlu kepada agenda pembinaan negara, namun apa dikesalkan ada pihak yang cuba menangguk di air keruh mengambil kesempatan menghamburkan kata-kata sebegini.
"Saya menggesa polis agar mengambil tindakan tegas dengan memastikan agar ugutan-ugutan sebegini tidak lagi berlaku pada masa akan datang," tambahnya.




Comments