AMK anjur ‘Kupi-Kupi Bah Dulu’ santuni belia, mahasiswa Sabah
- Suara Keadilan

- Sep 9
- 1 min read

Oleh: Helmi Foad
Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia bersama AMK Sabah dengan kerjasama Generasi Z menganjurkan program santai belia bertajuk “Kupi-Kupi Bah Dulu” di Anjung Selera Tanjung Lipat, Kota Kinabalu pada hujung minggu lalu.
Program yang berlangsung dalam suasana santai itu menarik kehadiran golongan belia, mahasiswa serta orang awam dengan antara aktiviti diadakan ialah edaran 100 kopi percuma, pertandingan The Voice Borneo, Dialog Urang Muda (DUM), tayangan wayang pacak dan cabutan bertuah.
Pengarah program, Nurhanani Dhamirah Razaleh berkata, penganjuran program itu bertujuan meraikan minat belia Sabah selain mengetengahkan bakat-bakat muda yang wajar disokong.

"AMK komited memastikan suara belia dan mahasiswa Sabah sentiasa didengari serta diberikan perhatian dari segenap aspek," katanya dalam kenyataan.
Menurut Nurhanani, Dialog Urang Muda menjadi tumpuan utama dengan memberi ruang kepada anak muda Sabah membincangkan isu-isu penting termasuk pembangunan belia, pendidikan, digitalisasi dan komunikasi.
Panel jemputan yang hadir ialah personaliti TV Enn Xaviera, Ketua AMK Sabah Zaidi Jatil serta bekas Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Roslan Abdullah.
Program ini merupakan inisiatif Jabatan Komunikasi dan Penerangan AMK Malaysia dengan kerjasama Biro Media Baharu serta Biro Pendidikan, bagi memberi penerangan berhubung pelbagai inisiatif kerajaan persekutuan dan negeri kepada belia di Sabah.
Turut sama menjayakan program ialah pimpinan AMK Sabah, ketua penerangan serta pengarah komunikasi AMK cabang di seluruh negeri.









Comments