Amirudin terima kunjungan hormat Ketua Pengarah AKPS
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 1 min read

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyatakan sokongan terhadap usaha Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) memperkukuh penguasaan bahasa asing dalam kalangan pegawai imigresen.
Jelasnya, usaha itu mampu meningkatkan mutu perkhidmatan dan profesionalisme pegawai imigresen sekaligus memperkukuh keselamatan negeri dan negara.
"Selangor mempunyai dua pintu masuk utama negara, KLIA dan Pelabuhan Klang, perlu memberi perhatian serius terhadap isu kawalan sempadan demi menjamin keselamatan negeri dan negara, khususnya dalam membendung sebarang aktiviti terlarang
"Saya usaha memperkukuh penguasaan bahasa asing seperti Mandarin dan Urdu dan lain-lain selaras dengan inisiatif Kerajaan Negeri Selangor bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan di pintu masuk utama negara," katanya dalam hantaran di Facebook.
Terdahulu, Amirudin menerima kunjungan hormat AKPS yang diketuai Ketua Pengarahnya, CP Datuk Sri Mohd Shuhaily Mohd Zain di pejabatnya pada Rabu.
Kerajaan Negeri sebelum ini mengumumkan penawaran kelas bahasa asing percuma secara dalam talian kepada rakyat Selangor bermula tahun ini
Inisiatif meliputi Bahasa Arab, Mandarin, Tamil, Perancis, Jerman dan Sepanyol itu bertujuan memperkukuh kemahiran pelbagai bahasa dan memupuk perpaduan itu diperkenalkan semula selepas mendapat sambutan baik ketika pandemik.









Comments