Amirudin sokong bina sekolah menegak tampung keperluan pendidikan
- Suara Keadilan

- Aug 26
- 1 min read

Kerajaan Negeri Selangor menyokong cadangan pembinaan sekolah menegak bagi menampung keperluan pendidikan penduduk setempat terutama di kawasan berkepadatan tinggi.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari (gambar) berkata, konsep tersebut secara asasnya banyak digunakan di negara maju dan boleh dilaksanakan di negara ini mengikut garis panduan disediakan khususnya Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia).
"Di Selangor sendiri memang dalam kebenaran merancang perlu sediakan sekolah seperti di Rumah Idaman Bukit Jelutong terdapat sekolah dan tadika yang jaraknya kurang dari 100 meter," katanya dipetik.
Amirudin berkata begitu di majlis penyerahan bantuan awal persekolahan (BAP) kepada pelajar tingkatan enam di Kolej Tingkatan Enam Shah Alam, semalam.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan pembinaan sekolah menegak yang diintegrasikan bersama projek perumahan.
Jelasnya, penggabungan elemen pendidikan dalam pembangunan perumahan itu merupakan satu ikhtiar Kerajaan MADANI untuk membina kawasan kejiranan yang bersifat ihsan dan memupuk pembangunan komuniti berteraskan nilai MADANI.
Selain mengatasi keperluan pendidikan di kawasan berkepadatan tinggi, langkah tersebut juga dapat menjamin keselamatan pelajar selain mengurangkan tanggungan kos pengangkutan keluarga.









Comments