Amirudin, FMBA bincang usaha melestarikan pertumbuhan ekonomi
- Suara Keadilan

- Jun 25
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Menteri Besar Selangor pada Selasa menerima kunjungan hormat Gabungan Persatuan-Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA).
Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pertemuan yang berlangsung di Shah Alam itu antara lain bagi membincangkan usaha-usaha strategik dalam memperkukuh pengurusan hal ehwal perniagaan dan industri di Malaysia, khususnya di Selangor.
"Saya berbesar hati menerima kunjungan FMBA yang mewakili pelbagai persatuan industri.
"Perbincangan bertumpu kepada usaha kolaboratif untuk melestarikan pertumbuhan ekonomi negeri secara mampan dan inklusif," katanya menerusi satu hantaran di laman Facebooknya.
Tambah Amirudin, selain membincangkan usaha kerjasama itu, beliau turut berkongsi pandangan tentang hala tuju dan fokus Kerajaan Negeri dalam pembangunan sektor ekonomi.
"Kami turut berbincang tentang peranan yang boleh dimainkan Kerajaan Negeri bagi meningkatkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi melalui sektor TVET yang sedang giat dilaksanakan," jelasnya.
Selangor menyumbang secara signifikan kepada ekonomi negeri dan negara, terutamanya dalam sektor pembuatan.
Pada 2023, Selangor mencatatkan pertumbuhan ekonomi tertinggi berbanding negeri lain pada kadar 5.4 peratus, menyumbang RM406.1 bilion atau 25.9 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Sementara itu Amirudin memaklumkan, pada pertemuan itu beliau turut menerima sumbangan berjumlah RM50,000 oleh FMBA kepada mangsa kebakaran di Putra Heights melalui Tabung Bencana.
"Terima kasih atas keprihatinan pihak industri dalam membantu rakyat di Selangor," tambahnya.









Comments