Aminuddin sokong pendirian Istana N Sembilan jangan babit politik dalam PRN
- Suara Keadilan

- Jul 28
- 1 min read

Tiada mana-mana pihak seharusnya mengaitkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir dengan kepentingan politik, tegas Menteri Besar.
Datuk Seri Aminuddin Harun (gambar) berkata, beliau menyokong pendirian dikeluarkan Istana Negeri Sembilan yang menegaskan Institusi Diraja itu sentiasa berkecuali dan tidak terlibat dengan mana-mana parti politik.
"Dua tiga hari ini di media sosial ada satu kenyataan yang saya anggap biadab kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Ia menggambarkan seolah-olah Tuanku boleh dikaitkan dengan parti politik.
"Kita sedia maklum Institusi Diraja adalah satu institusi yang cukup dijaga. Bukan sahaja orang Melayu menghormati institusi ini malah rakyat Malaysia tidak kira kaum, agama ataupun keturunan sentiasa menganggap institusi ini adalah satu institusi yang harus dipertahankan," katanya dipetik laporan media.
Calon Pakatan Harapan (PH) DUN Linggi itu ditemui pemberita selepas Program Mesra Rakyat bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Anwar Ibrahim di Dewan The Grand Lukut.
Istana Negeri Sembilan pada Isnin menasihatkan parti-parti politik tidak mengaitkan istana semasa ceramah dan kempen PRN yang sedang berlangsung.
Kenyataan tersebut hadir susulan klip video tular kempen yang dikaitkan dengan BN dalam satu ceramah kelompok yang mendakwa Menteri Besar pergi ke istana atas arahan DAP.
Sementara itu Aminuddin berkata, sebarang cubaan mengaitkan Institusi Diraja dengan kepentingan politik boleh menjejaskan maruah dan integriti institusi.
Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya tidak menggunakan isu sensitif sebagai bahan kempen sebaliknya mengetengahkan perancangan dan penyelesaian yang memberi manfaat kepada rakyat.
"Saya rasa pihak keselamatan perlu mengambil tindakan tegas dengan segera kerana kita tidak mahu selepas pilihan raya baru tindakan diambil sedangkan perkara ini sudah menjejaskan maruah dan integriti Institusi Diraja," katanya.




Comments