top of page

Aminuddin optimis N Sembilan mampu tingkat nilai pelaburan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 2 min read

DS Aminuddin dalam majlis sembah ucapan tahniah dan taat setia sempena Hari Keputeraan ke-78 Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, semalam
DS Aminuddin dalam majlis sembah ucapan tahniah dan taat setia sempena Hari Keputeraan ke-78 Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, semalam

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun optimis negeri itu mampu meningkatkan aliran masuk pelaburan sehingga mencecah RM8 bilion merentasi pelbagai sektor sepanjang tahun ini.


Menurut beliau, keyakinan tersebut didorong oleh pertumbuhan ekonomi yang berterusan serta tahap kepercayaan pelabur terhadap prospek Negeri Sembilan sebagai destinasi untuk menetap, bekerja dan menjalani kehidupan berkualiti.


Katanya, pembentukan identiti kluster industri khusus dalam sektor pembuatan melalui usaha sama dan sinergi antara negeri di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) berpotensi memacu pelaburan bersasar, sekali gus memperkukuh daya saing ekonomi negeri.


Selain itu, tumpuan turut diberikan kepada pembangunan Zon Pelaburan Pelancongan (STIZ) sebagai pemangkin penciptaan produk pelancongan baharu, termasuk pelancongan berasaskan seni, budaya, warisan serta alam semula jadi, selaras dengan pelaksanaan Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026 (TMNS 2026).


"Matlamat utama adalah untuk meningkatkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) secara mampan dan inklusif dengan memberi fokus kepada beberapa sektor utama yang berpotensi merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri," katanya.


Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan tahniah dan taat setia sempena Hari Keputeraan ke-78 Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah, pada Rabu.


Turut berangkat ke majlis tersebut ialah Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud.


Dalam perkembangan berkaitan, Aminuddin memaklumkan Bandaraya Seremban kini memasuki fasa kedua pembangunan bandar pintar sebagai sebahagian rangka kerja bandar berdaya huni, berdaya saing dan lestari.


Fasa ini memberi penekanan kepada penggunaan teknologi pintar dalam pengurusan trafik, keselamatan bandar, perkhidmatan perbandaran serta perancangan guna tanah yang lebih mampan.


"Dalam jangka panjang, pembangunan Bandaraya Seremban sebagai bandar pintar akan memberi impak besar dari segi daya tarikan pelaburan bernilai tinggi, penciptaan peluang pekerjaan berkemahiran serta peningkatan kualiti hidup rakyat," tambahnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page