Aminuddin nafi 'lari' dari Sikamat, tekad berbakti di DUN Linggi


Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menafikan dakwaan bahawa beliau "melarikan diri" dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat, sebaliknya menegaskan keputusan bertanding di DUN Linggi dibuat atas pilihan dan kehendaknya sendiri untuk meneruskan khidmat kepada rakyat.
Beliau berkata, selepas empat penggal diberi mandat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat, tiba masanya amanah itu diserahkan kepada calon baharu untuk meneruskan kesinambungan perkhidmatan kepada penduduk kawasan berkenaan.
"Saya bukan lari dari Sikamat.
"Empat penggal saya diberi amanah sebagai ADUN Sikamat. Dari seorang wakil rakyat pembangkang sehinggalah diamanahkan menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan, saya tetap bersama rakyat Sikamat," katanya dalam hantaran di media sosial.
Menurut Aminuddin, Sikamat merupakan titik permulaan perjalanan politiknya sejak dipilih sebagai wakil rakyat pada 2008 dan pelbagai kenangan pahit manis bersama penduduk tidak akan dilupakan.

"Dari sebuah pejabat kecil di atas kedai, dengan peruntukan yang serba terhad ketika menjadi pembangkang, kami bersama-sama berusaha mencari dana, membantu rakyat dan menganjurkan pelbagai program demi kebajikan penduduk. Semua kenangan itu tidak akan saya lupakan," katanya.
Beliau berkata, hubungan yang terjalin dengan masyarakat Sikamat telah melangkaui hubungan antara wakil rakyat dan pengundi sehingga dianggap seperti sebuah keluarga.
"Setiap kali saya pulang ke Sikamat, saya tidak pernah merasakan seperti menghadiri program rasmi, sebaliknya seperti pulang ke kampung sendiri. Isteri dan anak-anak saya juga cukup akrab dengan masyarakat di sana. Begitulah eratnya hubungan saya dengan Sikamat," katanya.
Aminuddin turut memaklumkan, semalam beliau sempat menghadiri majlis kesyukuran dan doa selamat di rumah keluarga Allahyarham Cikgu Badaruddin, yang disifatkannya sebagai antara individu terawal menerima kehadirannya di Sikamat.
Pada masa sama, beliau menyerahkan amanah untuk meneruskan khidmat di Sikamat kepada calon Pakatan Harapan, Ustaz Norazman.
"Pesan saya mudah, jagalah Sikamat sebaik-baiknya. Sayangilah rakyatnya sebagaimana saya menyayangi mereka.
"Terima kasih, Sikamat. Jasa dan kasih sayang kalian akan sentiasa terpahat dalam hati saya," katanya.
Mengulas pencalonannya di DUN Linggi, Aminuddin berkata keputusan itu dibuat atas kerelaan sendiri bagi meneruskan khidmat kepada masyarakat di kawasan berkenaan.
"Keputusan saya untuk bertanding di DUN Linggi adalah atas pilihan dan kehendak saya sendiri. Saya ingin meneruskan khidmat serta berbakti kepada masyarakat di Linggi.
"InsyaAllah, jika diberikan kepercayaan dan kemenangan oleh rakyat, saya akan bekerja dengan lebih kuat, lebih gigih dan sebaik mungkin demi kesejahteraan seluruh penduduk DUN Linggi," katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakyat atas doa, sokongan dan kepercayaan yang diberikan sepanjang perjalanan politiknya serta berharap perjuangan yang dibawa terus dipermudahkan.




Comments