top of page

Aminuddin: Kestabilan politik kunci pelaburan, kembangkan ekonomi

  • Writer: Sidiqin Omar
    Sidiqin Omar
  • 7 minutes ago
  • 2 min read
DS Aminuddin menekankan perlunya kestabilan politik memajukan N Sembilan. Kredit foto: FB Mat Sabu
DS Aminuddin menekankan perlunya kestabilan politik memajukan N Sembilan. Kredit foto: FB Mat Sabu

Kestabilan politik menjadi faktor utama yang mendorong keyakinan pelabur terhadap Negeri Sembilan sehingga berjaya menarik pelaburan bernilai tinggi, termasuk projek kecerdasan buatan (AI) pertama negara bernilai RM3.4 bilion.


Menteri Besar sementara Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kestabilan pentadbiran negeri telah memberi keyakinan kepada pelabur untuk memilih Negeri Sembilan sebagai lokasi pelaburan, sekali gus membuka lebih banyak peluang ekonomi dan pekerjaan kepada rakyat.


"Kenapa mereka yakin? Atas kestabilan kerajaan. Apabila kerajaan tidak stabil, itu yang merisaukan kita," katanya pada Majlis Pengumuman Calon Pakatan Harapan PRN Negeri Sembilan Ke-16, malam tadi.


Menurut beliau, Negeri Sembilan mencatatkan pencapaian pelaburan tertinggi dalam sejarah apabila berjaya merekodkan nilai pelaburan sebanyak RM19.1 bilion tahun lalu, menunjukkan peningkatan keyakinan pelabur terhadap hala tuju negeri.


Katanya, antara pelaburan penting yang bakal memberi impak besar ialah projek AI pertama di Malaysia yang dibangunkan di Negeri Sembilan dengan nilai pelaburan kira-kira RM3.4 bilion.


"Dalam tempoh tiga tahun insya-Allah kita akan melihat sebuah pelaburan di Negeri Sembilan ini. Kita tidak mempunyai lapangan terbang besar, tetapi kita bermula dengan sebuah pelaburan AI yang pertama di negara kita," katanya.


Aminuddin berkata, projek berkenaan dijangka mewujudkan kira-kira 5,000 peluang pekerjaan kepada rakyat Negeri Sembilan selain merangsang pembangunan kawasan pendidikan dan industri berkaitan.


Beliau berkata, kerajaan negeri turut merancang pembangunan kawasan pendidikan seluas 1,400 ekar sebagai sebahagian usaha menjadikan Negeri Sembilan sebuah negeri yang mampu menarik lebih banyak pelaburan berimpak tinggi.


"Bayangkan dengan kawasan pendidikan yang luas ini, pastinya Negeri Sembilan akan menjadi negeri yang mampu menarik pelaburan luar yang cukup hebat," katanya.


Dalam pada itu, Aminuddin berkata, kestabilan pentadbiran turut membolehkan syarikat milik kerajaan negeri mencatat prestasi memberangsangkan, sekali gus memberi ruang untuk kerajaan memperluas manfaat kepada rakyat.


Katanya, peningkatan pendapatan kerajaan negeri membolehkan pelbagai bantuan diteruskan termasuk dalam bidang pendidikan, kebajikan dan pembangunan rakyat.


"Apabila negeri berjalan dengan baik, dalam keadaan teratur dan stabil, semua syarikat berkaitan kerajaan negeri berjaya mencapai pendapatan yang menakjubkan. Inilah peluang kita untuk terus memberi manfaat kepada rakyat," katanya.


Beliau turut menegaskan hubungan baik antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan menjadi elemen penting dalam memastikan agenda pembangunan dapat dilaksanakan tanpa gangguan.


"Kita tidak mahu ada perbezaan antara negeri dan Persekutuan. Kita mahu hubungan baik ini bertambah erat kerana ia penting untuk membangunkan Negeri Sembilan," katanya lagi.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page