top of page

Ambil tindakan terhadap kempen kebencian anti-Rohingya - MAPIM

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 57 minutes ago
  • 2 min read

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap peningkatan kempen kebencian dalam talian yang menyasarkan komuniti pelarian Rohingya di negara ini.


Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar) berkata pihaknya memandang serius penularan kandungan media sosial yang mengandungi unsur kebencian, fitnah, hasutan dan stereotaip melampau terhadap komuniti berkenaan.


"Pelbagai hantaran, video, komen dan kempen tersusun di platform digital dilihat menyebarkan naratif negatif yang melabel keseluruhan komuniti Rohingya sebagai ancaman kepada negara, keselamatan dan kesejahteraan rakyat," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut beliau, sebarang isu berkaitan pelarian perlu ditangani berasaskan fakta, bukti dan proses perundangan, bukannya melalui kempen kebencian yang menghukum keseluruhan komuniti tanpa asas sah.


MAPIM turut menyuarakan kebimbangan bahawa budaya kebencian yang tidak dibendung boleh mencetuskan sentimen perkauman, xenofobia serta mendorong tindakan vigilante yang mengancam keselamatan awam.


"Kami bimbang jika budaya kebencian ini dibiarkan berleluasa, ia boleh mencetuskan sentimen perkauman, xenofobia dan tindakan vigilante yang mengancam keselamatan awam serta merosakkan imej Malaysia sebagai sebuah negara yang menjunjung nilai kemanusiaan dan keadilan," ujarnya.


Sehubungan itu, beliau menggesa Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta agensi berkaitan agar menyiasat dan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan kandungan berunsur hasutan kebencian dan fitnah.


"Penguatkuasaan undang-undang sedia ada perlu diperkasa, termasuk memantau kempen terancang yang mengapi-apikan sentimen kebencian serta menggalakkan penyebaran maklumat yang tepat dan seimbang."


Dalam pada itu, MAPIM turut menyeru masyarakat agar tidak mudah terpengaruh dengan maklumat tidak sahih serta mengelakkan generalisasi terhadap komuniti pelarian.


Menurut Azmi, komuniti Rohingya merupakan antara mangsa penganiayaan dan pembersihan etnik yang berlarutan dengan ramai daripada mereka tiba di Malaysia dalam keadaan kehilangan keluarga dan tempat tinggal.


"Walaupun terdapat cabaran dalam pengurusan pelarian, ia tidak boleh dijadikan alasan untuk menormalisasikan kebencian atau menafikan hak asasi kemanusiaan mereka," ujarnya.


Beliau menambah, Malaysia harus terus menjadi contoh dalam mengimbangi keperluan keselamatan negara dengan prinsip keadilan, belas ihsan dan penghormatan terhadap maruah manusia.


"Sebarang isu perlu diselesaikan melalui saluran undang-undang dan dasar yang adil, bukan melalui kempen kebencian yang hanya memecahbelahkan masyarakat," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page